Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng gesa Kelantan lebih berhemah urus kewangan
Diterbitkan:  Sep 8, 2018 3:18 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menegur kerajaan negeri Kelantan agar menguruskan kewangan negeri dengan "lebih bertanggungjawab dan berhemah".

Dalam kenyataan medianya hari ini, Lim menyorot bahawa Kelantan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan iaitu sebanyak RM913 juta.

Jumlah berkenaan terdiri daripada bantuan kewangan defisit sebanyak RM363 juta.

Bantuan itu diberikan kepada negeri dengan hasil yang tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus seperti emolumen, sewa, utiliti dan perbelanjaan operasi yang lain.

RM550 juta selebihnya pula, kata Lim, adalah wang pendahuluan yang diberikan kerajaan persekutuan bagi membantu Kelantan mengatasi masalah aliran tunai.

"Tanpa bantuan pemberian defisit daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Kelantan tidak akan mampu untuk menampung bayaran emolumen kepada kakitangan kerajaan negeri.

"Pada tahun 2017, hanya dua negeri yang menerima Pemberian Defisit iaitu Kelantan dan Perlis. Bagi tempoh 2013 hingga 2017, Kerajaan Negeri Kelantan menerima bantuan Pemberian Defisit sebanyak RM363 juta.

"Sehingga 30 Jun 2018 pula, jumlah wang pendahuluan yang telah disalurkan kepada Kelantan adalah berjumlah RM550 juta, di mana kerajaan negeri Kelantan merupakan penerima yang terbesar.

"Daripada jumlah tersebut, pendahuluan yang masih tertunggak dan belum dibayar balik oleh kerajaan negeri Kelantan adalah sebanyak RM384 juta," katanya.

Selain itu, Lim, turut menyorot pinjaman yang dibuat Kelantan daripada kerajaan persekutuan.

Sehingga 30 Jun 2018, katanya, baki pinjaman yang belum selesai adalah berjumlah RM1,413.3 juta dengan jumlah tunggakan sebanyak RM 434.5 juta.

"Tahap tunggakan pinjaman juga menunjukkan ketidakmampuan kerajaan negeri untuk memenuhi dan menguruskan komitmen kewangannya.

"Kerajaan persekutuan berharap supaya kerajaan negeri Kelantan dapat menguruskan hal ehwal kewangan negeri dengan lebih bertanggungjawab dan berhemah seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta meningkatkan hasil secara profesional dan sistematik demi mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan persekutuan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS