Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Bukan sahaja perdana menteri Malaysia tidak puas hati malah pelbagai pihak punya perasaan yang sama, malah jika penilaian prestasi kabinet kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dibuat oleh rakyat sangat jelas ia memang mendukacitakan sekali.

Hakikatnya, kenyataan atau komen perdana menteri terhadap menteri kabinetnya bukan sekali atau perkara baru kerana telah beberapa kali.

Ini menggambarkan bahawa teguran atau komen itu sangat serius dan sepatutnya mestilah disusuli dengan tindakan oleh anggota kabinet HARAPAN sebagai respons untuk melakukan perubahan.

Umpamanya isu pelantikan menteri pendidikan di UIAM, apabila perdana menteri sendiri membuat komen ini menunjukkan sesuatu yang tidak kena.

Justeru itulah, saya nampak perubahan tidak dilakukan dan ini menampakkan kelemahan ketara kepada HARAPAN.

Pada saya, kalau dikatakan bahawa mereka baru dan tiada pengalaman ia suatu yang tidak boleh diterima kerana sudah lebih empat bulan HARAPAN memerintah negara ini malah kerajaan didokong oleh kakitangan kerajaan yang berpengalaman.

Kemudian, sangat tidak adil jika perdana menteri menyalahkan kakitangan kerajaan apabila berlaku kelemahan prestasi kerajaan.

Apatah lagi jika mendakwa mereka terlalu taksub kepada BN yakni kerajaan terdahulu. Ini kerana sewaktu BN memerintah pun bukan semua kakitangan kerajaan menyokong BN jadi keadaan yang sama juga berlaku sebenarnya. Malah, prestasi kerajaan sangat baik.

Pada saya, yang penting ialah pemimpin. Ini kerana kakitangan akan melaksanakan semua arahan jika pemimpin punyai wawasan, berwibawa, dan dihormati serta nilai positif yang lain.

Namun jika semua nilai ini kurang ia akan menyebabkan prestasi yang diharapkan tidak tercapai. Inilah yang berlaku pada kerajaan HARAPAN.

'Gambarkan kelemahan PM sendiri'

Dari keadaan itulah, kita boleh menilai selain daripada pelbagai janji yang tidak tertunai. Persoalan yang boleh kita tanya kepada pimpinan HARAPAN ialah apa program baru yang lebih baik daripada kerajaan BN dibuat oleh HARAPAN baik dalam sektor pendidikan, sektor ekonomi, sektor pertanian dan sebagainya.

Jawapannya ialah hampir tiada langsung perkara baru. Ini kerana apa yang dibuat sekarang hanya dari apa yang dibuat oleh kerajaan terdahulu malah kalau nampak baru pun hanyalah "tukar kulit " semata-mata.

Pada saya tidak kiralah siapa mencadangkan barisan kabinetnya. Ini kerana perdana menteri bertanggungjawab terhadap kerja dan prestasi mereka apatah lagi beliau punyai kuasa mutlak melantik atau mengugurkan mereka.

Jadi jika prestasi mereka mendukacitakan ia juga mengambarkan kelemahan perdana menteri sendiri.

Selain itu, teguran perdana menteri itu juga mungkin adalah alasan beliau untuk meneruskan peranan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang sepatutnya telah berakhir.

Paling mendukacitakan ialah apabila rakyat yang menerima akibatnya. Kenaikan kos sara hidup ketika ini menekan rakyat. Usaha HARAPAN setakat ini tidak nampak jelas dan kurang berkesan.

Malah rakyat dihidangkan dengan pelbagai perkara baru yang membebankan. Rakyat nampaknya sudah terpaksa menerima bebanan kehidupan berbanding ketika BN memerintah.


DATUK SHAMSUL ANUAR NASARAH merupakan Ketua Penerangan Umno Malaysia.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau oraganisasi yang diwakilinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS