Jakim: Hubungan antara agama perlu diberi nafas baru
Komuniti Muslim di negara ini perlu menghayati seni menyantuni orang di sekeliling mereka berpandukan prinsip 'Islam Ad-din Rahmatan Lil Alamin' atau Islam agama rahmat untuk semua, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Beliau berkata prinsip rahmat untuk semua dalam Islam menekankan seni berdakwah kepada semua golongan masyarakat termasuk menangani permasalahan sosial dan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) secara berhikmah.
“Jakim komited membantu kerajaan dan masyarakat untuk tujuan ini kerana hubungan antara agama dan multi budaya perlu diberi nafas baharu dan dilakukan secara berhikmah agar tidak mendiskriminasi sesiapa dalam masyarakat majmuk negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku AFKAR Edisi Khas terbitan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan merasmikan Multaqa Kebangsaan Alumni Al-Azhar di Kuala Lumpur hari ini.
Buku AFKAR edisi khas yang diterbitkan dua kali setahun itu menjadi antara bahan bagi komuniti Muslim mendapatkan ilmu yang memfokuskan kepentingan mengamalkan kesederhanaan dalam urusan menjaga keharmonian masyarakat.
"(Seperti yang ditulis di dalam buku AFKAR ini) kita harus mencapai kemaslahatan dalam masyarakat dengan cara berhikmah dan ikut kerangka model kenegaraan patuh syariah," katanya.
Multaqa Kebangsaan Alumni A-Azhar kali kedua itu anjuran kerjasama Rabitah (Liga) Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia), Persatuan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PBMITT) dan Jakim itu dihadiri 300 anggota alumni Universiti Al-Azhar, ilmuan islam dan tokoh-tokoh masyarakat.
Forum bertemakan "Al-Rahmah Asas Perpaduan" yang berlangsung dua hari bermula semalam bertujuan mengukuhkan perpaduan masyarakat Islam di negara ini serta memperkenal WOAG Malaysia sebagai badan bukan kerajaan yang berperanan membantu pihak kerajaan ke arah perpaduan ummah.
- Bernama

