Paling Popular
Terkini

PEMILIHAN PKR | Setiausaha Politik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Hilman Idham menyangkal dakwaan Rafizi Ramli bahawa menteri hal ehwal ekonomi itu pernah meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak bertanding jawatan presiden pada pemilihan PKR tahun ini.

Berucap dalam program Reformasi 20 tahun di Kota Bharu semalam, Rafizi mendakwa ia bagi memberi laluan kepada Azmin sendiri untuk memimpin parti itu.

Menjawab dakwaan itu, Hilman berkata Azmin sememangnya ke Turki ketika Anwar menjalani pembedahan baru-baru ini tetapi ia atas arahan Anwar sendiri.

"Tiada siapa yang dibenarkan berjumpa Anwar semasa dan selepas pembedahan kecuali ahli keluarga. Selain itu hanya Azmin yang dibenarkan berjumpa.

"Jika Azmin yang beria-ria mahu berjumpa Anwar (untuk memintanya tidak bertanding), tentulah Anwar tak akan izinkan dia untuk menemuinya...Apa yang dikatakan Rafizi itu mustahil," kata Hilman (tiga dari kiri) ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam Rafizi mengecam Azmin kerana sanggup berbuat demikian ketika Anwar dalam proses pembedahan.

"Dia pergi ke Tukri untuk jumpa Anwar sendiri. Anwar tengah nak menjalani pembedahan dia boleh pergi jumpa dan kata, Datuk Seri (Anwar) tak payah bertandinglah biar saya jadi presiden parti.

"Kalau cerita ini tak betul saya tidak sebut," katanya dalam program itu yang merupakan sebahagian daripada kempen pemilihan kem "Reformasi 20 tahun" yang diketuainya.

Rafizi berkata beliau mendedahkan cerita itu bagi menjawab tohmahan segelintir pihak termasuk pemimpin PKR terhadap mereka yang mempersoalkan kesetiaan Azmin kepada Anwar.

Selain Rafizi, Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hadi juga menyerang Azmin sebelum ini yang menurutnya terlibat dalam komplot Tun Daim Zainuddin untuk menghalang Anwar menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, Hilman yang juga ADUN Gombak Setia meminta Rafizi tidak lagi menggunakan nama pemimpin dan mengadu-domba dalam kempennya.

"Sebagai calon timbalan presiden beliau patut berdiri atas kaki sendiri dan mengemukakan tawarannya kepada anggota. Tak perlu petik nama pimpinan.

"Ia tak akan menjadikan PKR sebagai parti yang kuat selepas pemilihan nanti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS