Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Saya tak peduli you siapa
Diterbitkan:  Sep 9, 2018 12:16 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan calon-calon yang mengambil bahagian dalam pemilihan pimpinan tertinggi parti supaya bertanding secara sihat dan dalam semangat kekeluargaan.

Pemilihan pimpinan tertinggi PKR, yang dijadual 22 Sept hingga 28 Okt ini di seluruh negara, menyaksikan pertandingan semua peringkat kecuali jawatan presiden yang dimenangi Anwar tanpa bertanding bulan lepas.

Beliau menegaskan, PKR tidak akan berkompromi dengan mana-mana calon yang didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Anwar mengingatkan mereka supaya tidak bersikap kasar, bergaduh, mencerca dan memaki hamun semata-mata untuk menang.

“Pertandingan hendaklah (secara) sihat dalam keluarga besar. Kalau ada saya terima mana-mana laporan serius, saya tak peduli you siapa (sama ada) you menang (atau) you kalah. Kita perlu selamatkan parti. Tiada kompromi," tegasnya semasa berucap pada majlis makan Melangkah Ke Arah Kegemilangan Baru Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sibu malam tadi.

Anwar berkata, para perwakilan parti perlu memilih pemimpin terbaik daripada kalangan calon yang disenarai bertanding.

Beliau turut mengesahkan terdapat tiga kerusi parlimen yang ditawarkan untuk ditandingi pada pilihan raya kecil dalam tempoh terdekat ini bagi membolehkannya kembali ke parlimen sebelum bulan Oktober ini.

Bagaimanapun Anwar tidak menyatakan nama kerusi-kerusi parlimen itu atau kerusi yang menjadi pilihannya.

Terdahulu Pengerusi PKR Sarawak merangkap Menteri Kerja Raya dan Anggota Parlimen Selangau, Baru Bian, berkata sokongan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan membolehkan Pakatan Harapan memenangi 10 daripada 30 kerusi di Sarawak.

Dan kini kata Baru kerusi berkenaan bertambah kepada 12 berikutan kemasukan calon bebas.

Baru yang juga Anggota Dewan Udangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan berkata Pakatan Harapan Sarawak perlu memperkukuhkan kedudukan di negeri itu bagi menghadapi pilihan raya negeri kira-kira tiga tahun lagi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS