Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Undi meningkat kalau lebih ramai pemimpin Umno bantu kempen'

PRK SERI SETIA | PAS mungkin meraih undi yang lebih banyak di PRK Seri Setia jika lebih ramai pemimpin utama Umno membantu kempen mereka, kata Dr Halimah Ali.

Calon PAS itu bagaimanapun mengakui hakikat hubungan parti itu dengan Umno yang baru di peringkat awal selepas berdekad-dekad permusuhan.

"Mungkin (boleh tambah undi). Tetapi itulah, kita baru nak berkenalan, macam orang nak kahwin.

"Kita baru berkenalan dalam tempoh tiga minggu ini, nak (tengok) okey ke tak selepas 60 tahun berlawan. (Takkan) tiba-tiba dalam tiga minggu ini nak beria-ia," katanya ketika sidang media di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau berpotensi meraih lebih banyak undi jika lebih ramai pemimpin Umno turun ke Seri Setia sepanjang tempoh 21 hari kempen.

Dr Halimah tewas dalam PRK Seri Setia semalam apabila meraih 9,689 undi berbanding calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar yang mendapat 13,725 undi.

Namun pencapaian itu - perbezaan 4,027 undi - jauh lebih baik berbanding PRU ke-14. Ketika itu calon PAS Mohd Ghazali Daud hilang deposit selepas mendapat hanya 4,563 daripada 52,650 undi (8.6 peratus daripada undi keseluruhan).

Mungkin dibincangkan di Terengganu

Mengulas lanjut, Dr Halimah yang juga bekas exco Selangor semasa PAS masih dalam kerajaan negeri berkata parti itu mengambil langkah berhati-hati menjalin hubungan kerjasama tersebut.

“Di Sungai Kandis pun dulu begitu juga, betul ke tak betul ni (nak jalin kerjasama)?

"PAS agak berhati-hati dalam membuat kerja dan bukan oportunis macam orang lain, gaduh-gaduh sampai lebam dan masuk dalam penjara tetapi akhirnya boleh duduk sama, puji satu sama lain pula.

“Tetapi kita tidak. PAS melihat dan menilai dulu serta tidak gopoh dan itu yang mengambil masa sedikit,” katanya.

Bagaimanapun Dr Halimah berkata, sebagai pakatan pembangkang mereka tidak seharusnya mengambil pendekatan berlawan dan boleh bersependapat dalam hal-hal tertentu.

“Kita (PAS dan Umno) memang berlawan tetapi sekarang ini sebagai pembangkang kita mesti tak boleh berlawan (sesama sendiri). Tapi tak semestinya PAS perlu setuju semua benda dan pada masa sama kita tak berlawan dalam semua benda,” katanya.

Sementara itu Dr Halimah yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS ditanya apakah perancangan parti itu untuk melanjutkan kerjasama lebih akrab dengan Umno selepas ini..

Katanya isu itu akan dibincangkan pada muktamar PAS di Terengganu minggu depan.

“Saya difahamkan berdasarkan apa yang kita lihat kenyataan dari presiden Umno mereka telah bersedia untuk hadir ke muktamar PAS yang akan berlangsung minggu hadapan.

“Itu baru hadir (ke muktamar) tetapi itulah permulaan kerjasama seperti itu,” katanya.

Bagaimanapun kata Dr Halimah, kerjasama berkenaan masih lagi di peringkat awal.

"Ini baru taawun. Taawun atas kerjasama yang baik, yang akan menguntungkan rakyat," katanya.

Namun, Dr Halimah tidak menolak kemungkinan kerjasama itu akan dibincangkan secara serius pada sidang muktamar akan datang.

“Kemungkinan itu (kerjasama lebih serius antara Umno dan PAS) akan menjadi topik perbincangan dalam muktamar.

Muktamar PAS akan berlangsung pada 13 hingga 15 September ini di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Lihat Komen
ADS