Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Halimah: 'Semangat' Hadi tetap ada di Seri Setia

PRK SERI SETIA | Walaupun kelibat Datuk Seri Abdul Hadi tidak kelihatan di Seri Setia, beliau tetap memainkan peranan selaku presiden PAS dalam kempen parti itu, kata Dr Halimah Ali.

Calon PAS itu berkata, bantuan Abdul Hadi diterjemahkan secara semangat terhadap dirinya dan juga jentera parti.

"Dia (Abdul Hadi) yang isytiharkan dan sokongan (pencalonannya). Mungkin secara fizikal (tiada) tetapi memang setiap hari dia bantu memberi arahan untuk memantapkan kempen," katanya dalam sidang media di Shah Alam, hari ini.

Tambahan pula, kata Dr Halimah, hampir semua pemimpin PAS pusat turun membantu sepanjang 21 hari tempoh kempen.

Beliau diminta mengulas tentang Abdul Hadi yang tidak berkempen di lapangan dalam PRK itu.

Dr Halimah tewas dalam PRK Seri Setia semalam apabila meraih 9,689 undi berbanding calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar yang mendapat 13,725 undi.

Sementara itu diminta mengulas ketiadaan Datuk Seri Najib Razak membantu kempen kali ini, Dr Halimah berkata ia ditentukan oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Ketidakhadiran Najib ditentukan oleh presiden Umno sendiri, PAS tidak tahu-menahu,” katanya.

Selain itu, Dr Halimah yang juga bekas exco Selangor menyatakan rasa terharunya dengan sokongan dan bantuan yang dihulurkan Umno dalam PRK Seri Setia.

Kata Dr Halimah, jika dulu Umno dilihat selesa bergerak dengan jentera kerajaan tetapi kini mereka tidak begitu lagi.

“Sekarang ini mereka melihat dengan mata kepala sendiri bersama-sama dengan PAS, yang mana kita ini tidak ada sumber melainkan sumber yang datang daripada poket anggota PAS sendiri.

“Dan saya juga terharu apabila pemuda dan wanita yang bertudung merah (orang Umno) sanggup berhujan berpanas bersama-sama.

“Kalau dulu orang PAS sahaja yang menangis tetapi kali ini mereka juga turut terharu bersama,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS