Majlis Peguam Malaysia digesa mengambil tindakan ke atas Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kerana didakwa menerima bayaran RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Biro Undang-undang DAP Perak Leong Cheok Keng berkata Majlis Peguam perlu mempertahankan kedaulatan undang-undang dan menggunakan peruntukan dalam Akta Profesion Undang-Undang 1976 serta mengambil tindakan perlu terhadap Shafee, antara lain dengan membuat aduan kepada lembaga disiplin.

Menurut Leong Biro Undang-undang DAP Perak yakin hak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapat perbicaraan yang adil dan Muhammad Shafee tidak bertindak bebas semasa menjalankan tugasnya.

"Seorang peguam - walaupun bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan - tetap terikat dengan tugasnya untuk menegakkan undang-undang, maruah dan standard profesion yang tinggi sepanjang masa, dan tidak boleh melakukan sebarang penipuan kepada mahkamah dan tidak boleh menerima tugasan jika tindakannya terdedah untuk dipertikaikan," katanya.

Leong berkata demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sebelum ini Muhammad Shafee didakwa menerima sejumlah bayaran atas khidmatnya sebagai pegawai pendakwa khas kerajaan dalam kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika itu Anwar - yang disabitkan atas kes liwat kedua - membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada 6 Sept lalu Pejabat Peguam Negara dilaporkan menyerah "maklumat baru" kepada Mahkamah Rayuan, iaitu kenyataan menunjukkan Najib membayar RM9.5 juta kepada Muhammad Shafee antara 2013 dan 2014.

Afidavit itu dikemukakan seorang pegawai tugas khas kepada peguam negara turut melibatkan butiran transaksi di antara akaun Najib dan Muhammad Shafee.

Tidak ketinggalan satu salinan dua keping cek daripada Najib kepada peguam kanan berkenaan, masing-masing bertarikh 11 Sept 2013 dan bernilai RM4.3 juta dan 14 Feb 2014 (RM5.2 juta).

Muhammad Shafee semalam mengakui menerima bayaran tersebut daripada Najib namun menegaskan ia cuma sebahagian daripada bayaran bekas perdana menteri itu untuk khidmat yang diberikan kepada Umno dan BN sejak 1990-an.

Kata Leong apa yang berlaku itu menunjukkan Muhammad Shafee mungkin sudah melakukan salah laku atas kapasiti sebagai peguam dan tertakluk kepada tindakan Lembaga Disiplim Peguam Bela dan Peguam Cara.

[Baca berita penuh]