Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong yang "seperti diramal" menunjukkan pengundi Cina mula tidak peduli untuk mempertahankan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Jelas Annuar, perkara itu terjadi meskipun pemimpin DAP Lim Kit Siang menyeru agar mengundi HARAPAN.

Pada masa yang sama, tambah Annuar, pengundi Melayu yang menjadi "mangsa kerajaan HARAPAN" menunjukkan tahap kepedulian yang tinggi dan menyokong calon pembangkang.

"Ini kerana betapa ketaranya siapa yang menjadi mangsa kerajaan HARAPAN hari ini.

"Pegawai kerajaan yang dibuang kerja dan dicemuh itu siapa? Peneroka Felda yg tertipu itu siapa? Nelayan yang teraniaya itu siapa? Yang kena SST siapa? Yang kena bayar PTPTN siapa? Raja yang dihina itu siapa?

"Mahkamah syariah itu siapa? Mufti, jemaah haji, Yayasan 1MDB itu siapa? Pegawai JASA dan KEMAS itu siapa? Bahasa yang dipersenda bahasa siapa? Status pribumi, pendatang itu terkena pada siapa? Yang terhina itu agama siapa?" katanya.

Annuar membandingkan dengan "pihak yang satu lagi" yang dipercayai merujuk kepada kaum Cina, yang menurutnya "berpuas hati".

"Tiada GST mereka yang untung. Sistem cukai lemah mereka untung. Iktiraf UEC mereka untung. Status tanah 999 tahun mereka untung. Tender terbuka mereka untung. Harga naik mereka untung. Jawatan dalam kabinet mereka untung. Parti lain berpecah mereka untung.

"Justeru pola mengundi turut mengikut tahap kepuasan masing masing. Bolehlah kita semua mula merenung ke hadapan utk kita memilih jalan seterusnya," katanya.

PRK Seri Setia dan Balakong semalam menyaksikan kedua-dua calon HARAPAN mempertahankan dua kerusi berkenaan,

Meskipun prestasi HARAPAN di Balakong meningkat, perkadaran undi yang diraih berbanding pilihan raya umum lalu di Seri Setia menurun.

HARAPAN menang di Seri Setia dengan 13,755 undi berbanding PAS yang mendapat 9,698 undi. Sementara di Balakong, HARAPAN meraih 22,058 undi berbanding calon MCA yang mendapat 3,975 undi.