Raja Perlis berkenan anugerah 50 biasiswa PhD di UIA
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menganugerahkan 50 biasiswa diraja kepada rakyat Malaysia yang layak melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tahun ini.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata untuk tujuan itu Tuanku Syed Sirajuddin berkenan supaya diwujudkan Kerusi Jamalullail di UIA dan akan dipegang oleh seorang profesor selaku penyelia kepada penerima anugerah tersebut.
“Baginda menawarkan anugerah (biasiswa) ini buat kali pertama, berjumlah RM5 juta sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan dan kementerian khususnya bagi membantu pembangunan pendidikan negara,” katanya kepada media di Kuala Perlis malam tadi.
Terdahulu Tuanku Syed Sirajudin berkenan menerima mangadap Maszlee di Istana Arau.
Maszlee berkata UIA dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan bersama-sama memperincikan kriteria calon yang layak selain pusat pengajian tinggi itu sendiri mencadangkan calon serta bidang pengajian.
Beliau menambah keutamaaan akan diberikan kepada pemohon B40 termasuk anak-anak Perlis yang layak.
- Bernama

