Protes senyap tuntut hak 2 anak tiri CEO Cradle
Sejumlah 30 orang berhimpun di lobi Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pagi ini untuk mendesak pihak berkuasa melindungi hak dua remaja lelaki yang kini ditahan berhubung kes bunuh bapa tirinya, ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan.
Kumpulan itu yang terdiri daripada anggota keluarga dan rakan-rakan dua remaja itu mengangkat sepanduk ketika protes senyap itu yang bermula pukul 10 pagi.
Antara desakan mereka, seperti yang terpapar pada sepanduk itu, adalah agar mereka disiasat secara adil dan laporan media yang tidak berat sebelah.
Mereka juga menuntut agar dua remaja itu tidak digari serta diasingkan daripada tahanan dewasa. Mereka juga meminta identiti mereka tidak didedahkan kerana masih di bawah umur.
Remaja berusia 14 dan 16 tahun itu dilaporkan ditahan polis pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan pembunuhan Nazrin yang terjadi pada Jun lalu.
Hari ini polis dijangka akan memohon lanjutan perintah reman daripada Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk ibu remaja itu, yang juga isteri Nazrin, yang ditahan kira-kira seminggu lalu.
Turut ditahan ketika itu adalah bekas suami wanita itu.
Bulan lalu, polis mengklasifikasikan kematian Nazrin sebagai kes bunuh selepas menerima laporan penuh bedah siasat dan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

