Menteri: Proses memansuhkan Auku dah bermula
Kementerian Pendidikan sudah memulakan langkah memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kata Dr Maszlee Malik hari ini.
Menurut menteri pendidikan itu kerajaan akan memulangkah hak untuk bersuara kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi di negara ini.
Melalui ciapannya di Twitter Maszlee berkata kewujudan Auku selama ini menyekat suara mahasiswa dan ia juga menyebabkan timbul budaya takut dalam kalangan mereka.
"Saya tahu kita sudah lama hidup dalam budaya takut bersuara ini.
"Budaya ini muncul setelah wujudnya undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara mahasiswa seperti Auku.
"Sebab itu kementerian telah memulakan langkah untuk memansuhkan Auku.
"Kita akan memulangkan hak kebebasan bersuara kepada mahasiswa," katanya.
Kementerian beri jaminan
Auku dibentang di Dewan Rakyat pada 17 Mac 1971 oleh menteri ketika itu Datuk Hussien Onn sebelum mula dikuatkuasakan pada 30 April tahun yang sama.
Secara ringkas Auku didakwa perlu digubal bagi membantu pusat pengajian tinggi mentadbir institusi masing-masing.
Bagaimanapun ia sebenarnya banyak dipengaruhi oleh kebangkitan gerakan mahasiswa pada ketika itu yang lantang bersuara dalam isu-isu berkaitan masyarakat.
Sejarah juga menunjukkan ada kerajaan yang jatuh kesann daripada aktiviti penuntut universiti atau institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

Sepanjang sejarahnya Auku pernah dipinda beberapa kali termasuk pada 1996.
Antara peruntukan yang dipertikaikan pengkritik ialah seksyen 15 melibatkan larangan ke atas pelajar atau kakitangan menyertai mana-mana organisasi atau kumpulan kecuali mendapat restu pihak pentadbiran IPT.
Semasa Pakatan Harapan (HARAPAN) mengemukakan manifesto mereka menjelang PRU ke-14 lalu, penghapusan Auku turut diikrarkan.
Pada awal Ogos lalu Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata kerajaan menetapkan tempoh lima tahun untuk memansuhkan Auku dan menggantikannya dengan undang-undang baru.
Kata Teo tempoh lima tahun itu diperlukan bagi kerajaan berunding dengan semua pihak berkepentingan.
Menurut Maszlee Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa mahasiswa akan terus dibenarkan bersuara dan menyatakan pandangan mereka kepada kerajaan.
Beliau yang juga bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa menambah Kementerian Pendidikan mahu melahirkan mahasiswa yang kritikal serta berani menyatakan pendapat.
"Mereka ialah mahasiswa kita, pelapis pemimpin negara kita.
Maszlee juga berkata beliau akan mengumumkan beberapa pendekatan baru tidak lama lagi.

