Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata Akta Hasutan tidak seharusnya digunakan untuk menyiasat bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Gobind menegaskan pendirian DAP dalam pemansuhan Akta Hasutan seperti yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Akta Hasutan sering digunakan sewenang-wenangnya dan disalah guna. Ia telah digunakan sebagai senjata politik untuk menyekat perbezaan pendapat di Malaysia.

"Kami secara konsisten menggesa pemansuhan akta itu dan masih memegang pendirian itu.

"Walaupun saya bersetuju bahawa tindakan perlu diambil terhadap Hanif atas dakwaan tidak berasas yang dibuatnya terhadap Lim Kit Siang, Akta Hasutan tidak seharunya digunakan bagi tujuan itu," katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Anggota Parlimen DAP Bukit Gelugor Ramkarpal Singh yang juga bertindak sebagai penasihat undang-undang untuk Lim, agar Hanif disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Gesaan itu dibuat selepas Hanif mendakwa bahawa DAP pernah meminta agar semenanjung Malaysia dibahagi dua antara Melayu dan Cina.

Ramkarpal menyifatkan kenyataan Hanif sebagai mempunyai unsur hasutan dan mempunyai niat melaga-lagakan kaum Melayu dan Cina.

Ramkarpal merujuk kenyataan Hanif pada Khamis lalu yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata bahawa beliau memenjara Lim ketika menjadi ketua polis negara kerana DAP mahu membahagikan semenanjung Malaysia mengikut kaum.

"Masa itu Parti Perikatan bentuk Barisan Nasional sebab pada masa itu negara kita hampir hancur. DAP pula minta Malaya dibahagi kepada dua.

“Pantai Timur kepada Melayu dan Pantai Barat kepada Cina. Jadi jawapan saya macam mana? Saya masukkan Lim Kit Siang dalam penjara.

"Dua tahun dia dalam tu. Itu cara dia cara Hanif ambil tindakan semasa menjadi Ketua Polis Negara,” kata Hanif dipetik sebagai berkata pada suatu majlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam.

Ramkarpal semalam juga telah mengesahkan bahawa beliau menerima arahan daripada Lim untuk meneruskan tindakan perundangan terhadap Hanif selepas bekas ketua polis negara itu tidak menarik semula kenyataannya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin turut menyokong kenyataan Gobind agar tidak menggunakan Akta Hasutan untuk menyiasat Hanif.

"Secara jujurnya, saya sendiri hampir katakan hal yang sama (seperti kenyataan Gobind).

"Pemimpin dan anggota parlimen HARAPAN perlu lebih berhati-hati dalam merujuk akta drakonian itu terhadap seteru politik kita. 

"Mereka mungkin akan menggunakan kenyataan kita untuk mengabsahkan kewujudan undang-undang itu," katanya.