Reman isteri CEO Cradle Fund dilanjutkan 3 hari
Polis hari ini melanjutkan tahanan reman terhadap isteri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan bagi membantu siasatan kes bunuh suaminya.
Penasihat guamannya, Hisyam Teh Poh Teik dan LS Leonard memberitahu pemberita bahawa Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah membenarkan reman dilanjutkan tiga hari.
Jelas mereka, Majistret Nurulhuda Zakariya membenarkan pelanjutan reman itu selepas mendengar hujah polis dan peguam perempuan berusia 43 tahun itu.
Leonard berkata polis telah memohon lanjutan tujuh hari terhadapnya tetapi dibantah pihak peguam.
"Permohonan itu dengan alasan untuk soal siasat, tapi kita bantah. Permohonan reman tidak seharusnya disalah guna untuk tujuan soal siasat.
"Majistret menerima hujah kami dan berkata, apa-apa yang perlu dilakukan, perlu dilakukan dalam tiga hari.
"Jadi selepas tiga hari, dia perlu dibebaskan," katanya ketika ditemui di luar kawasan mahkamah 2.30 petang tadi.
Perempuan itu dan bekas suaminya ditahan minggu lalu dan direman kali pertama selama tujuh hari, yang tamat hari ini. Bekas suaminya bagaimanapun telah dibebaskan.
Bagaimanapun, polis pada Sabtu lalu menahan dua anak lelaki perempuan itu yang berumur 16 dan 14 tahun, yang merupakan anak tiri Nazrin, bagi membantu siasatan kes.
Kedua-dua remaja itu dibawa ke mahkamah sama semalam dan mahkamah meluluskan reman tujuh hari polis.
Siasatan kematian Nazrin pada 14 Jun lalu asalnya dipercayai terbunuh akibat kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara.
Bagaimanapun selepas siasatan lanjut polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai bunuh ekoran penemuan kesan petrol oleh penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat di dalam bilik tempat mayat Nazrin ditemui.
Sementara itu, di kawasan luar mahkamah hari ini, kira-kira 30 orang termasuk anggota keluarga dan rakan-rakan mereka hadir sejak awal pagi.
Mereka bagaimanapun gagal berjumpa dengannya kerana difahamkan pakar harta intelek itu dibawa masuk dan keluar mahkamah mengikut laluan yang tidak boleh diakses orang awam.

