'DAP perlu henti momokkan hubungan MCA dengan Umno, PAS'
Senator Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa DAP - khususnya Lim Kit Siang - agar berhenti mencetuskan rasa takut berhubung kerjasama Umno dan MCA dengan PAS.
Beliau berkata kerjasama antara parti seperti itu merupakan lumrah dalam politik yang juga diamalkan DAP selama ini.
Malah katanya MCA selama ini mencari "pemuafakatan dan persamaan" dengan penyokong Umno dan PAS demi memupuk keharmonian kaum dan agama.
"DAP sengaja menjadi penghalang pemupukan silaturahim antara kaum dan agama (melalui kerjasama parti politik) kerana mahu terus bermaharajalela melalui pecah dan perintah," katanya yang juga jurucakap publisiti MCA dalam kenyataan, hari ini.
Beliau membalas beberapa kenyataan Lim sebelum ini yang mengecam kerjasama tiga parti itu yang digelarnya sebagai "pakatan cela" (unholy alliance).
Ia berikutan kerjasama PAS dengan Umno, dan kemudiannya MCA, dalam tiga PRK sebelum ini. PAS malah sebelum ini menggesa penyokongnya di Balakong agar mengundi calon MCA.
Mengulas lanjut, Ti turut membangkitkan tindakan politik DAP selama ini yang didakwanya meluaskan lagi jurang antara kaum di negara ini.
Membangkitkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), beliau berkata DAP sebelum ini pernah mendesak MCA menuntut pengiktirafan serta-merta daripada Umno, di saat isu itu sudah reda dan berjaya ditangani secara tolak-ansur.
"Selain itu, DAP juga berjanji untuk meluluskan hak milik 999 tahun untuk tanah kampung baru jika berkuasa, dan menuduh Umno sebagai penghalang dan CMA tidak berani memperjuangkannya," katanya.
Akhirnya, katanya lagi, kedua-dua isu itu masih tidak diselesaikan walaupun DAP sudah pun menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Beliau berkata tindakan DAP itu hanya menyebabkan tindak balas ekstrem daripada penyokong Umno dan PAS.
"MCA selama ini memainkan peranan timbang tara dan moderation tetapi hari ini racun DAP sudah membara dan undi masyarakat Cina cuma untuk DAP dan rakan-rakan mereka," katanya lagi.

