Syed Zainal Abidin dilantik jadi pengerusi lembaga pengarah UiTM
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu berkuat kuasa Julai lepas.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini berkata pelantikan untuk tempoh tiga tahun tokoh berpengalaman dalam bidang korporat dan pendidikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin yang memegang jawatan itu sejak Julai 2015.
Maszlee berkata Syed Zainal Abidin yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam jurusan Kejuruteraan daripada University of Maryland, Amerika Syarikat berpengalaman sebagai anggota panel penasihat industri bagi beberapa universiti awam dan swasta.
Beliau menambah tokoh berusia 55 tahun itu juga pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Induk Anugerah Akedemik Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia selain menerajui Kumpulan Proton Holdings Bhd dan Perodua Auto Corporation Sdn Bhd.
Jelas Maszlee, selaku tokoh korporat yang dihormati dan disegani, beliau yakin Syed Zainal Abidin mampu mengemudi UiTM menjadi pusat pengajian tinggi yang dinamik untuk bergerak seiring dengan keperluan dan cabaran semasa.
"Saya percaya kepimpinan beliau akan memberi suntikan baharu kepada kecemerlangan UiTM yang secara tidak langsung membantu hasrat kerajaan untuk terus memartabatkan sistem pendidikan negara," katanya.
Maszlee turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zaidee atas sumbangannya sepanjang menyandang jawatan Pengerusi UiTM sehingga tempoh perkhidmatan berakhir Julai lalu.
- Bernama

