Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Maszlee sahkan jumpa mahasiswa berdemo: Rabu 6 petang

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik akan mengadakan pertemuan Rabu ini bersama kumpulan mahasiswa yang mengadakan protes berhubung pelantikannya selaku Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Maszlee berkata pertemuan itu akan berlangsung di Kementerian Pendidikan di Putrajaya pada pukul 6.30 petang.

Katanya, pertemuan itu diharap dapat membuka ruang kepadanya untuk mendengar sendiri suara kumpulan pelajar sekaligus membuktikan dasar terbuka yang dipraktikannya dan kerajaan.

“Sekali lagi saya ingin mengulangi dasar terbuka saya dan juga kerajaan, dan pada masa yang sama berpegang teguh dengan pendekatan untuk memelihara kebebasan bersuara mahasiswa dan juga autonomi universiti,” katanya.

Beliau berkata pegawainya telah berhubung dengan Asheeq Ali Sethi Alivi, iaitu wakil kumpulan pelajar terbabit yang kemudiannya bersetuju menetapkan tarikh dan masa pertemuan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan sebuah portal berita hari ini bertajuk “Dasar pintu terbuka Maszlee Malik hanya sekadar ‘retorik’ – Aktivis Pelajar", yang antara lain memetik kenyataan Asheeq Ali bahawa dasar pintu terbuka yang sekian lama dilaungkan oleh menteri adalah tidak benar.

Sabtu lepas, Asheeq Ali, 23, bersama Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, ditahan polis selepas enggan bersurai dari kawasan hadapan pintu masuk utama Parcel E, Putrajaya yang menempatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan.

Asheeq Ali dan Nurizzah mengadakan tunjuk perasaan duduk bantah, bersama tidak lebih 10 penuntut dari beberapa universiti yang menggelar diri mereka Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai protes terhadap pelantikan Maszlee selaku Presiden UIAM.

- Bernama

Lihat Komen
ADS