MCA: Segera gubal undang-undang antigangguan seksual
Pemuda MCA menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat segera menggubal akta antigangguan seksual ekoran penahanan seorang pembantu timbalan menteri semalam.
Naib Ketua Pemuda MCA Nicole Wong berkata dalam keadaan sekarang ramai pesalah gangguan seksual terlepas daripada hukuman ekoran jarang ada "bukti khusus" atau kekurangan saksi.
"Dengan kurangnya penguatkuasaan atau peruntukan wajar dalam undang-undang, pesalah akan terus terlepas daripada hukuman manakala mangsa terpaksa menanggung kesan psikologi, serta tekanan masyarakat jika mereka tampil membuat pendedahan.
"Situasi itu membawa seseorang yang terbabit menjadi mangsa sekali lagi. Justeru ada keperluan untuk undang-undang yang jelas dan kaedah penguatkuasaan profesional bagi menangai kes-kes gangguan seksual," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Ahad seorang pembantu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman didakwa menggunakan telefon genggamnya untuk merakam imej bahagian sulit wanita yang memakai skirt.
Kejadian berlaku di sebuah kedai cermin mata di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur dan dirakam melalui kamera litar tertutup premis terbabit.
Mohd Aziz kemudian memecat pembantunya sejurus selepas berita mengenai perlakuannya itu dilapor media. Suspek kemudian ditahan polis semalam.
Kata Wong Pemuda MCA juga sedia memberikan bantuan perundangan kepada mangsa gangguan seksual.
Untuk rekod undang-undang antigangguan seksual sudah dirangka sebelum ini.
Ia dinyatakan Datuk Seri Rohani Abdul Karim kira-kira enam bulan lalu ketika beliau masih berkhidmat sebagai menteri.

