Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno perlu kembali tumpu jaga kepentingan Melayu'

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Nor Adam menyeru agar parti itu kembali menumpukan untuk menjaga kepentingan Melayu.

Jelas Lokman, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kehilangan sokongan Melayu sebelum ini kerana bersikap "moderate" dan cuba penuhi permintaan semua kaum.

"Kita lihat Najib ini cukup moderate, dia cuba penuhi segala permintaan semua kaum di negara ini tetapi akhirnya kita kehilangan sokongan kuat orang Melayu ini dan ada di antara sebab mereka lari kepada PAS kerana melihat kita tidak begitu bersungguh-sungguh (menjaga kepentingan Melayu).

"Manakala orang Melayu, Cina dan India yang moderate melihat Umno tidak mampu memainkan peranan itu sehingga kita telah mengorbankan perdana menteri yang cukup baik," katanya dalam sidang media di PWTC hari ini.

Sidang media itu diadakan selepas pengumuman penyertaan bekas presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim ke dalam Umno.

Kenyataan Lokman itu sebagai mengulas pandangan pemimpin Umno seperti Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang menyeru agar Umno mengambil pendekatan lebih terbuka kepada semua kaum.

Tambah Lokman, sekiranya Umno mengambil pendekatan lebih terbuka, parti itu tidak dapat menyaingi PKR yang "sangat liberal".

"Kalau nak jadikan Umno sebuah parti yang moderate, liberal, saya yakin kita tak mampu menyaingi PKR yang sangat liberal hingga LGBT pun dihalalkan.

"Dan kita lihat mantan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri mengatakan bahawa kita patut hormati hak golongan LGBT secara tertutup sedangkan ia jelas bertentangan dengan Islam.

"Saya tak nampak Umno boleh ikut untuk menjadi liberal sebegitu rupa, jadi saya suka nak mencadangkan di sini biarlah Umno ini kembali kepada asas menjaga orang Melayu, MCA menjaga orang Cina dan MIC jaga orang India.

"Formula inilah yang membuahkan kejayaan BN sebelum ini," katanya.

Kerjasama Umno-PAS

Mengulas lanjut, Lokman berkata, kerjasama Umno dan PAS selepas kekalahan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 kini berjaya menarik balik sokongan orang Melayu khususnya kepada Umno.

"Bagi saya antara sebab kenapa Umno dan PAS hari ini telah berjaya menarik balik sokongan orang Melayu ialah kerana kita sudah dalam proses mengembalikan, mempertahankan Islam, Melayu dan hak keistimewaan Melayu serta raja-raja Melayu.

"Sebab itulah kita berjaya menyakinkan lebih ramai orang Melayu untuk kembali bersama kita dan ini hanya berlaku kurang lebih 129 hari selepas kita tewas pada PRU lalu.

"Jadi, cuba bayangkan apa yang kita boleh buat dalam tempoh satu atau dua tahun. Saya yakin pakatan ini akan mendapat kerjasama dan juga mendapat sokongan rakyat khususnya orang Melayu dengan lebih baik," katanya.

Terdahulu, Zamil menyerahkan borang pendaftaran keahlian untuk menyertai semula Umno selepas meninggalkan parti itu 20 tahun lalu.

Menurut Zamil, keputusannya untuk kembali kepada Umno tidak langsung mempunyai agenda politik peribadi melainkan hanya untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

“Orang Melayu kini berada di persimpangan yang amat genting, oleh itu atas rasa tanggungjawab terhadap orang Melayu serta agama Islam maka perlu untuk saya dan rakan-rakan yang menyepi sebelum ini untuk bangkit bersama mempertahankan Melayu di bawah bumbung Umno.

“Sedikit pengalaman ketika saya bersama PKR dahulu di peringkat negeri Kedah mahupun di peringkat Pusat akan saya gunakan semasa berada dalam Umno selepas ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS