Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Fuziah: Pahang perlu tegas kawal selia perlombongan bauksit

Kerajaan negeri Pahang diminta tegas melakukan penguatkuasaan dalam mengawal selia aktiviti perlombongan bauksit berikutan pengumuman pengeluaran lesen eksport (AP) bahan itu secara terhad.

Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata kemungkinan perlombongan haram boleh berlaku, yang telah menyebabkan stokpile bauksit tidak dapat dikosongkan walaupun tempoh moratorium telah berlangsung sejak 15 Jan 2015 dan dijangka tamat hujung tahun ini.

"Kerajaan negeri kena pastikan penguatkuasaan lebih tegas... sebelum ini sudah ada kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perlombongan bauksit yang mungkin menunjukkan berlaku unsur salah guna kuasa dan rasuah.

"Kita kena pastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. Kena pastikan pasukan penguatkuasaan yang ada tegas, dan meletakkan kepentingan serta kesihatan rakyat dan kelestarian alam sekitar sebagai fokus utama mereka," katanya.

Fuziah berkata demikian semasa ditemui pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Pahang 2018 di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah1 di Kuantan hari ini, yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Tak halang tapi jangan cemar alam sekitar

Fuziah menjelaskan pengeluaran AP terhad itu hanya terpakai bagi tujuan mengosongkan stokpile yang terdapat di Pelabuhan Kuantan, yang perlu dilakukan segera sebelum musim tengkujuh yang lazimnya berlaku pada hujung tahun.

"Jika tidak, musim tengkujuh boleh menyebabkan berlaku hakisan yang berisiko mendatangkan bahaya kepada sungai dan laut. Ini yang perlu kita elakkan dan mengapa AP terhad dikeluarkan hanya untuk stokpile dalam pelabuhan," katanya.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah beliau berharap kerajaan negeri Pahang dapat mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan bauksit, jika aktiviti itu diteruskan pada masa hadapan.

Katanya, walaupun sering memperjuangkan isu bauksit, beliau tidak pernah sesekali menghalang aktiviti itu kerana ia membawa pendapatan kepada negeri dan rakyat, namun ia mesti dilakukan secara berhemah supaya tidak mencemarkan alam sekitar dan menimbulkan kerungsingan rakyat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS