Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Individu buat 4 laporan polis pada jabatan agama Islam K'tan

Empat laporan polis dibuat terhadap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), dipercayai susulan operasi jabatan berkenaan terhadap sekumpulan individu didakwa pengikut Syiah pada 30 Ogos lepas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad ketika dihubungi mengesahkan mengenai laporan tersebut.

Beliau berkata kesemua laporan polis itu dibuat secara berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 2 dan 3 September lepas.

"Berdasarkan laporan dibuat, kita mendapati pihak berkenaan menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap JAHEAIK selain beberapa individu tersebut kesal dituduh pengikut Syiah.

"Bagaimanapun, kesemua laporan yang diterima, kita rujuk kepada JAHEAIK untuk apa-apa tindakan susulan selepas ini," katanya.

Pada 30 Ogos lalu, JAHEAIK menyerbu sebuah premis dipercayai menjadi markas pengikut Syiah dan menahan 43 individu, termasuk kanak-kanak dalam satu operasi di Jalan Sri Cemerlang di Kota Bharu.

Serbuan bermula 10.30 malam itu dilakukan sepasukan kakitangan JAHEAIK yang disertai sepasukan anggota polis bagi mengawal keselamatan kakitangan agensi berkenaan.

Mengikut maklumat, sekumpulan lelaki dan wanita dikatakan sedang mengadakan satu upacara keagamaan yang meragukan dan bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS