Berita Malaysiakini

Muzium beg tangan Rosmah di Bandar Malaysia, gurau Daim

Zikri Kamarulzaman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin menyarankan menjadikan projek Bandar Malaysia menjadi sebuah taman riadah.

Daim berseloroh di taman itu nanti akan dibina sebuah muzium beg tangan yang didedikasikan kepada isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor.

"Saya cadang airport (lapangan terbang lama TUDM di Sungai Besi) itu kita jadikan park. Supaya orang KL boleh guna, berkelah di sana.

"Selepas itu, kita buat muzium letak handbag Rosmah. Satu dunia datang tengok," kata Daim di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau bercakap pada majlis dialog townhall bersama penduduk parlimen Titiwangsa di Kelab Sultan Sulaiman.

Polis dalam serbuan Mei lalu di pangsapuri yang dikaitkan dengan Najib merampas 284 kotak beg tangan mewah.

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan Rosmah mendakwa pada bulan Ogos lalu tidak sampai separuh daripada barangan yang disita - termasuk barang kemas dan wang tunai - adalah milik Rosmah.

Bandar Malaysia sepatutnya menjadi hab utama di ibu negara dengan stesen MRT3 dan juga stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang kini ditangguhkan.

Ia juga adalah satu daripada dua kawasan tanah yang terlibat dalam skandal 1MDB, selain Tun Razak Exchange.

Daim berkata mengenai Bandar Malaysia ketika membincangkan tanah kerajaan di Kuala Lumpur yang secara tidak betul dijual di bawah pentadbiran BN terdahulu.

Menurutnya, hal tersebut telah dibawa kepada perhatian SPRM dengan matlamat supaya kerajaan dapat mengambil semula tanah itu.

Putrajaya bincang warta tanah Orang Asli

Sementara itu, pada majlis yang sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun berkata Putrajaya telah berbincang dengan kerajaan Kelantan mengenai isu mewartakan tanah Orang Asli di negeri itu.

Ketika diminta mengulas lanjut hal ini, Rina memberitahu pemberita perkara berkenaan masih sedang dalam perbincangan tetapi Putrajaya telah meminta negeri itu untuk tidak mengesampingkan hak-hak semua Orang Asli di Kelantan.

Beliau berkata telah meminta negeri itu memperuntukkan kawasan tanah kepada masyarakat Temiar di Gua Musang untuk "penghidupan, bercucuk-tanam, menangkap ikan dan memburu."

Masyarakat Temiar telah melakukan sekatan di tanah yang didakwa sebagai warisan nenek-moyang mereka bagi menghadang pembalak dan syarikat perladangan yang meneroka hutan di Gua Musang selama bertahun-tahun.

Namun, kerajaan Kelantan menegaskan tanah berkenaan sebagai hak milik negeri.

[Baca berita penuh]