Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rampas 200kg daun ketum untuk dihantar ke K'tan

Polis merampas kira-kira 200 kilogram daun ketum yang dianggarkan bernilai RM6,000 dengan penahanan seorang remaja lelaki di Kampung Lubuk Pagar, Sik dekat Pendang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah berkata, suspek berumur 18 tahun dan beralamat di Raub, Pahang ditahan pada pukul 4 pagi selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di kawasan ladang kelapa sawit dalam cubaan melarikan diri daripada polis.

Katanya, terdahulu sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Pendang cuba menahan kenderaan suspek di Jalan Kampung Sungai Putat, tetapi suspek tidak memberhentikan kenderaannya, malah memecut ke arah Jeniang.

Arriz Sham berkata, dengan bantuan kenderaan pelbagai guna (MPV) polis, kereta suspek dikejar sehingga hampir 40 kilometer ke Daerah Sik sebelum suspek berjaya diberkas.

“Pasukan itu telah mengarahkan kenderaannya berhenti dengan menyalakan lampu dan menggunakan pembesar suara tetapi suspek enggan dan melarikan diri dengan memandu secara berbahaya ke arah Jeniang.

"Anggota yang mengesyaki sesuatu terus mengejar suspek sehingga ke jalan kampung kemudian ke ladang kelapa sawit di Kampung Lubuk Pagar itu sebelum dia ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di Pendang, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui sejumlah daun ketum yang dibalut dengan plastik lutsinar di atas tempat letak kaki bahagian penumpang hadapan, tempat duduk penumpang belakang dan di dalam but kereta yang dianggarkan seberat 200 kilogram.

Menurutnya, suspek yang masih bujang dan menganggur dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum di sekitar kawasan Sungai Tiang, di Pendang sebelum dibawa ke Kelantan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS