Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PATRIOT minta Anwar tak tanding di PD, cari kerusi lain
Diterbitkan:  Sep 12, 2018 10:58 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) menggesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mempertimbangkan semula keputusan untuk bertanding di kerusi parlimen Port Dickson.

Presidennya, Mohamed Arshad Raj berkata ini kerana penyandang kerusi berkenaan, Danyal Balagopal Abdullah yang merupakan bekas pegawai tentera perlu mengutarakan isu kebajikan anggota dan pesara tentera di Dewan Rakyat.

"Jika laporan berita itu terbukti benar, PATRIOT melihat keputusan parti itu tidak mempedulikan veteran tentera dan kepemimpinan PKR nampaknya tidak menghargai kehadiran seorang pegawai bersara tentera sebagai anggota parlimen.

"Kepimpinan PKR mesti memahami bahawa kehadiran veteran angkatan tentera di parlimen disokong oleh ribuan pesara yang dilihat mewakili mereka, dan suara mereka bergantung kepadanya," kata Mohamed Arshad dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan Anwar memilih untuk bertanding di satu-satunya kerusi parlimen yang dimenangi PKR di Negeri Sembilan. Bagaimanapun, keputusan ini belum disahkan oleh pucuk pimpinan PKR.

Danyal memenangi kerusi Port Dickson dengan majoriti 17,710 undi pada pilihan raya umum ke-14 dengan memperoleh 36,225 undi berbanding 18,515 undi (BN) dan 6,594 undi (PAS).

Mohamed Arshad berkata keputusan meminta Danyal mengosongkan kerusi Parlimen boleh mengundang protes pesara tentera terhadap Anwar.

"Ia juga mungkin mempunyai kesan negatif terhadap calon-calon anggota tentera dalam pilihan raya di masa depan apabila para pegawai kanan tidak diendahkan," katanya.

Menurutnya, tiga pilihan raya kecil di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong mencatatkan kadar peratusan keluar mengundi yang rendah, menunjukkan rakyat 'keletihan' untuk menghadapi pilihan raya lagi.

"Sekiranya pilihan raya kecil ini benar-benar diperlukan, PATRIOT menggesa kepimpinan PKR agar kerusi parlimen Port Dickson kekal dengan penyandangnya dan Anwar Ibrahim bertanding di tempat lain," kata Mohamed Arshad.

Lihat Komen
ADS