Berita Malaysiakini

PAS dakwa tak mustahil Dr Mahathir 'bersama' pembangkang

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Mukhyi mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan ‘bersama’ blok pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen yang bakal ditandingi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti.

“Kemungkinan Dr Mahathir (Perdana Menteri) juga akan menyebelahi kita (pembangkang).

“Yang pasti tidak akan ada pertembungan tiga penjuru pada PRK itu kali ini,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online sambil menambah perkara itu dianggap tidak mustahil berikutan kemelut politik dalaman yang sedang berlaku dalam PKR.

Sallehin turut menempelak beberapa kepemimpinan PKR yang dilihat rapat dan setia dengan Anwar, namun enggan mengosongkan kerusi masing-masing untuk memberi laluan kepada Anwar.

Antara yangmenjadi sasarannya adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, perbalahan dalaman PKR juga jelas sudah tidak dapat disembunyikan.

“Lebih baik yang paling setia letak jawatan (bagi laluan kepada Anwar)

“Jika Azmin rasa dia paling setia, kenapa tidak letak jawatan bagi Anwar.

“Tak perlu berteka-teki. Azizah pun kenapa tidak mahu letak jawatan?” katanya yang turut yakin PKR akan berdepan PRK dalam keadaan tertekan selain sabotaj dalaman parti.

Anwar ditetapkan untuk menjadi perdana menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir melalui persetujuan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Untuk membolehkan ia berlaku Anwar mesti menjadi anggota parlimen terlebih dulu.

Ada beberapa kerusi disebut-sebut akan dikosongkan oleh anggota parlimen PKR bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Kerusi yang akan dikosongkan untuk Anwar akan diumumkan di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.