Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lawan Anwar? PAS akan mesyuarat dulu, kata Tuan Ibrahim

PAS akan bermesyurat terlebih dahulu sama ada akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata setakat ini tidak ada sebarang keputusan dibuat memandangkan PKR baru sahaja mengumumkan perkara itu tengah hari tadi.

"Sebab hari ini baru ada keputusan (dari PKR) jadi kita tak bincang lagi, parti akan adakan mesyuarat bincang.

"Kita belum ada tarikh nak mesyuarat, biasanya minggu ke dua, sebab minggu ni ada muktamar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tuan Ibrahim berkata mesyuarat yang akan dibuat itu tidak akan melibatkan Umno.

"Tak, mesyuarat PAS sahaja. PAS dan Umno tak ada mesyuarat, kita parti lain-lain. Jadi kita adakan mesyuarat, tak ada kena mengena dengan Umno," katanya.

PKR hari ini mengumumkan kerusi parlimen Port Dickson akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil untuk Anwar.

Perkara itu diumumkan anggota parlimen kerusi itu sendiri, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, ketika sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian itu berpendapat PKR memilih Port Dickson setelah melihat keupayaan Anwar untuk menang di kerusi itu.

"Saya ingat itu kerusi selamat untuk dia. keputusan itu mungkin dah dibuat penilaian dari segi kemampuan untuk menang.

"Walaupun orang jangka (Presiden PKR) Datuk Seri Wan Azizah dan (Naib Presiden PKR) Nurul Izzah Anwar (akan beri kerusi) dan lebih dilihat ada permuafakatan kepimpinan parti (PKR) tapi bila itu keputusan dibuat, bagi PAS kita tak nak campur tangan, itu urusan PKR," katanya.

Sementara itu, anggota jawatankuasa kerja pusat MIC Saravanan Murugan memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat 11 pagi esok berhubung perkara sama.

"Kami akan bermesyuarat 11.30 pagi esok untuk memutuskan (sama ada akan bertanding)," katanya.

Naib Presiden MIC Datuk T Mohan pula berkata parti itu sepatutnya bertanding di Port Dickson memandangkan ia adalah kerusi MIC.

Bercakap dengan Malaysiakini, beliau bagaimanapun berkata keputusan akan dibuat selepas perbincangan antara presiden parti dengan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada PRU lalu, Danyal mendapat 36,225 undi untuk menewaskan calon BN V Mogan (18,515) dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

Danyal juga mengumumkan dia menghantar surat peletakan jawatan kepada speaker Dewan Rakyat hari ini.

Lihat Komen
ADS