Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayi lelaki ditemui dalam bungkusan plastik di Terminal Bas Larkin

Seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir, ditemui di sebuah gerai kosong dalam satu bungkusan plastik di tingkat 1, Terminal Bas Larkin, dekat Johor Bahru, petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata bayi itu dijumpai Danu Subroto, 45, seorang pekerja binaan warga Indonesia kira-kira 3.30 petang, yang terus meminta bantuan pihak polis untuk ke lokasi tempat bayi dijumpai.

"Saksi telah menemui satu bungkusan plastik merah dan nampak tangan bayi bergerak-gerak di luar plastik tersebut dan telah menemui bayi di dalam plastik berkenaan.

"Bila diperiksa, didapati ada seorang bayi lelaki bangsa tidak pasti, tidak berpakaian hanya selimut dengan sehelai baju dan di bawah bayi tersebut ada uri yang masih berdarah dibungkus dengan beberapa helai baju T-Shirt," kata beliau dalam satu kenyataan di Johor Bahru hari ini.

Selain itu, pihaknya juga tidak menemui sebarang dokumen pada bayi tersebut, katanya.

Shahurinain berkata bayi tersebut juga sihat dan tiada sebarang kecederaan pada fizikalnya apabila dibawa ke sebuah klinik di terminal bas berkenaan untuk pemeriksaan.

"Hasil pemerhatian secara fizikal mendapati bayi itu dipercayai dilahirkan kurang 24 jam ketika ditemui dan tidak mengalami kecederaan dan dipercayai berbangsa India berdasarkan kulit yang berwarna gelap," tambah beliau.

Bayi tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan dan rawatan sebelum dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Shahurinain berkata siasatan lanjut mendapati tiada saksi yang melihat bayi tersebut diletakkan di gerai itu.

"Kes masih dalam siasatan. (Oleh itu), kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian dan suspek yang terlibat agar segera menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis," tambah beliau.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan dengan niat hendak membuang kanak-kanak yang berumur kurang daripada 12 tahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS