Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beli Mercedes-Benz sebab keperluan, kata Mohd Amar
Diterbitkan:  Sep 12, 2018 4:23 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mempertahankan keputusan kerajaan negeri Kelantan membeli kereta kenderaan jenama Mercedes-Benz bagi kegunaan pegawai tertinggi sebagai satu keperluan.

Malah, katanya, kos penyelenggaraan kenderaan mewah itu juga jauh lebih murah berbanding kenderaan jenama lain.

“Kita beli ini (Mercedes-Benz) sebab keperluan kerana kereta sedia ada sudah melebihi tempoh.

“Kalau dikira daripada segi peraturan, selepas tempoh lima tahun boleh ditukar, itupun ada kereta yang sudah mencecah 10 hingga 12 tahun,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia Online.

Menurutnya, setakat ini sebuah kereta jenama itu sudah dibeli bagi kegunaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.

Pemimpin PAS itu berkata dasar membeli kereta mewah itu juga bukan sesuatu yang baru.

“Beli Mercedes ini juga bukan isu sebab sejak zaman arwah Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) lagi kita sudah beli.

“Kita beli juga sekadar kemampuan bukan semua tukar, baru sebuah kereta sahaja. Malah, kos penyelenggaraan jauh lebih murah berbanding jenama Toyota dan Honda,” katanya.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa mendakwa kerajaan negeri PAS membuat pembelian sekurang-kurangnya sebuah kenderaan mewah jenama Mercedes-Benz untuk kegunaan pegawai tertingginya.

Menurut Husam, pembelian kenderaan tersebut dipercayai dibuat pada tahun ini dan perkara itu menimbulkan persoalan memandangkan keadaan kewangan kerajaan negeri ini adalah tidak begitu memberangsangkan.

Lihat Komen
ADS