Peguam yang mewakili keluarga mendiang Pegawai Kadet Graduan (PKG) J.Soosaimanicckam meminta campur tangan Menteri Kesihatan Dr Zulkefly Ahmad mengenai apa yang didakwa sebagai keengganan jabatan kesihatan Perak untuk memberikan "laporan bedah siasat akhir dan konklusif."

Peguam Zaid Malek dan Mahajoth Singh hari ini berkata laporan bedah siasat yang didakwa telah diserahkan pihak hospital dan jabatan kesihatan kepada keluarga hanyalah laporan awal tanpa hasil ujian makmal.

"Kamu perlu nyatakan di sini jabatan kesihatan Perak secara terang-terangan cuba untuk memperdaya orang ramai [...] laporan bedah siasat akhir dan konklusif tidak pernah diserahkan kepada keluarga dan berada dalam simpanan pihak berkuasa.

"Ini suatu yang tidak wajar dan jarang-jarang terjadi kerana kebiasaaanya keluarga mendiang menerima laporan akhir bedah siasat. Menjadi hak mutlak keluarga untuk mendapat salinan laporan itu.

"Kami menggesa menteri kesihatan untuk campur tangan dalam hal ini dan memastikan keadilan dan ketelusan [..] (maka) jabatan kesihatan Perak perlu serahkan laporan bedah siasat akhir dan konklusif kepada keluarga tanpa sebarang alasan lanjut.

"Kementerian kesihatan juga mesti menyiasat pihak yang menafikan hak undang-undang pihak keluarga untuk mendapatkan salinan (laporan bedah siasat akhir)," kata para peguam keluarga daripada kumpulan Lawyers for Liberty (LFL) dalam suatu kenyataan hari ini.

Kenyataan LFL susulan kenyataan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Ding Lay Ming yang bertegas laporan autopsi yang dijalankan Hospital Seri Manjung mengikut prosedur operasi standar (SOP) telah diserahkan kepada keluarga mendiang.

SOP hospital tak bincang dengan peguam

Beliau juga mendakwa menjadi SOP pihak hospital untuk tidak membincangkan hasil dapatan bedah siasat dengan peguam dan berkata telah dengan sopan menolak permintaan keluarga untuk peguam hadir sama mesyuarat dengan jabatan kesihatan negeri minggu lalu.

Sementara itu, peguam Zaid dan Mahajoth menyangkal wakil hospital bersopan-santun sebaliknya bersikap "konfrontasi" pada pertemuan itu.

Soosaimanicckam, 27, meninggal dunia pada 19 Mei lalu, seminggu selepas mendaftar masuk latihan di Markas Pangkalan TLDM Lumut.

Penasihat LFL N Surendran berkata kadet itu dalam teks mesej kepada abangnya, mendakwa disiksa sehari selepas mendaftar masuk latihan.

Mengesyaki terjadi kecurangan, pihak keluarga membuat dua laporan polis mengenai kematian Soosaimanicckam.

Pada Julai lalu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berjanji siasatan rapi akan dijalankan terhadap kes kematian itu.

[Baca berita penuh]