Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua matahari dijangka menerangi Malaysia baru - Nik Abduh
Diterbitkan:  Sep 12, 2018 4:55 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sinis dengan keputusan PKR yang mengumumkan kerusi parlimen Port Dickson akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat bertanding.

Dalam satu ciapan di Twitter, anggota parlimen Bachok itu berkata, beliau berharap tidak akan berlaku sebarang pertembungan tetapi tidak menghuraikannya.

“Syukur, tak ada kematian. Hanya letak jawatan. Besok dua matahari dijangka terbit menerangi Malaysia Baharu.

“Harapnya jangan bertembung sudah. Hijrah ke belakang namanya,” ciapnya.

Pilihan raya kecil itu bertujuan untuk membolehkan PKR meletakkan Anwar untuk mendapatkan semula mandat daripada rakyat untuk kembali ke Parlimen.

Beliau ditetapkan untuk menjadi perdana menteri kelapan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui persetujuan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN). Tetapi untuk membolehkan ia berlaku beliau mesti menjadi anggota parlimen terlebih dulu.

Walaupun Anwar sebelum ini berkata bahawa beliau tidak akan menunjut sebarang jawatan dalam kerajaan jika menjadi wakil rakyat semula dan akan memberikan sokongan penuh kepada pentadbiran Dr Mahathir, ramai yang sangsi dengan kenyataannya itu.

Tiada tempoh ditetapkan untuk peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar.

Terdahulu hari ini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Port Dickson untuk membuka jalan supaya pilihan raya kecil dapat diadakan.

Pada PRU lalu, Danyal mendapat 36,225 undi untuk menewaskan calon BN V Mogan (18,515) dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi petang tadi, berkata partinya akan bermesyurat terlebih dahulu sama ada akan meletakkan calon bagi menentang Anwar.

Sebelum ini pada tiga PRK - Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong - PAS bekerjasama dengan BN, khususnya Umno untuk mengalahkan calon HARAPAN. Namun, pembangkang tewas di ketiga-tiga kerusi berkenaan.

Lihat Komen
ADS