Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan runding mansuh visa ke Kanada, maklum duta M'sia

Malaysia kekal optimis bahawa perbincangan bagi memansuhkan keperluan visa terhadap rakyat Malaysia yang ingin ke Kanada akan diteruskan memandangkan kini terdapat minat baharu untuk meningkatkan hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.

Ketika menzahirkan keyakinan itu, Duta Besar Malaysia ke Kanada yang bakal berundur, Datuk Aminahtun Karim Shaharudin, berkata terdapat keperluan untuk memudah serta membangunkan pertukaran rakyat kepada rakyat dengan lebih lanjut selain menarik minat rakyat Malaysia ke negara itu dan mempromosi perdagangan serta pengetahuan dalam bidang teknologi.

"Tidak terdapat masalah rumit antara kedua-dua negara melainkan satu sahaja isu yang belum selesai - rakyat Malaysia perlu mendapatkan visa untuk datang ke Kanada - dan kita ingin melihat syarat itu dimansuhkan," katanya sambil menambah bahawa meskipun isu itu telah dibincangkan di peringkat menteri, ia akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

Dalam temu bual dengan Bernama, Aminahtun berkata agenda perubahan yang dibawa Kerajaan Pakatan Harapan ketika ini untuk menjadikan Malaysia lebih terbuka dan inklusif adalah senada dengan pendirian serta nilai yang dipegang oleh Kanada selain mendekatkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Aminahtun, yang berpengalaman 36 tahun sebagai diplomat dan menjadi duta ke Kanada sejak awal 2016, berkata memandangkan visa adalah satu isu berkaitan kedaulatan, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Malaysia untuk terus membangkitkan perkara itu dengan pihak Kanada yang mengenakan syarat tersebut selepas tragedi 11 Sept 2001.

Proses visa dari 6 minggu ke 3 minggu

Meskipun begitu, beliau berkata terdapat penambahbaikan dalam isu itu kerana rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan visa ke Kanada dengan lebih cepat kerana tempoh pemprosesan yang sebelum ini mengambil masa enam minggu telah dikurangkan kepada kira-kira tiga minggu.

"Saya boleh menyatakan bahawa kita telah mencapai beberapa kejayaan dalam hal isu ini," kata Aminahtun sambil menambah bahawa terdapat rakyat sesetengah negara lain yang terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan visa ke Kanada.

Dalam pada itu, beliau turut mengesali kesulitan yang terpaksa ditempuhi pelajar Malaysia serta ibu bapa mereka serta ahli perniagaan disebabkan oleh isu visa.

Malaysia mahupun Kanada memiliki masyarakat berbilang budaya dan menganggotai Komanwel yang mempunyai 53 negara, kedua-duanya selain aktif melakukan pertukaran di pelbagai peringkat termasuk parlimen dan kerjasama dari segi pertahanan serta keselamatan.

Aminahtun berkata keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 di Malaysia dan kemenangan menakjubkan Pakatan Harapan telah menjana suasana positif dan keyakinan dalam kalangan rakyat serta para pegawai kerajaan Kanada berkaitan agenda pembaharuan yang berlaku di Malaysia, dan ini merupakan petanda baik untuk kedua-dua negara.

2.6 juta pengunjung dari Malaysia

"Saya telah mengadakan banyak perbincangan dan semua kenalan saya, walaupun yang berada di universiti serta badan pemikir Kanada, telah menunjukkan minat baharu terhadap Malaysia," katanya sambil mendedahkan bahawa seorang delegasi Kanada yang amat kanan bakal berlepas ke Malaysia tidak lama lagi bagi membincangkan hubungan dua hala yang lebih berdaya maju.

Beliau berkata gesaan ke arah lebih banyak penglibatan di Malaysia ketika ini turut selari dengan pendirian rakyat Kanada yang bangga dengan masyarakat berbilang budayanya yang mengamalkan nilai-nilai lebih terbuka serta kesaksamaan.

Duta itu juga berkata Kanada adalah antara 20 negara paling awal mewujudkan hubungan diplomatik dengan Malaysia tidak lama selepas kemerdekaan dan sejak lebih 61 tahun lepas, hubungan kedua-duanya telah berjalan lancar serta terus berkembang.

Terdapat sejumlah besar rakyat Malaysia di Kanada - kira-kira 10,000 orang di Kawasan Greater Toronto; 5,000 orang di Vancouver dan beberapa kelompok kecil yang bertebaran di seluruh bandar di negara itu.

Menurut statistik Hal Ehwal Global Kanada, pada 2016, negara itu telah menyambut ketibaan kira-kira 14,000 pelancong dari Malaysia.

Setakat bulan Mei tahun ini, kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia telah berkunjung ke Kanada.

Bagaimanapun, jumlah pelajar tajaan Malaysia di Kanada telah berkurangan sejak beberapa tahun lepas susulan langkah pemotongan yang dilakukan oleh beberapa agensi kerajaan.

Sehingga tahun lepas, jumlah yang didaftar ialah 200 orang namun bilangan pelajar swasta dari Malaysia pula semakin meningkat di sekolah-sekolah swasta Kanada.

Terdapat program seperti Program Matrikulasi Antarabangsa Kanada yang dikendali oleh beberapa kolej di Malaysia yang membawa kepada pendaftaran lebih tinggi.

Baru-baru ini, Universiti Dalhousie di Halifax, Nova Scotia dan Universiti Waterloo di Ontario telah menarik lebih ramai pelajar swasta Malaysia.

Pada masa yang sama, Aminahtun berkata perkara yang menggalakkan dalam hal ini ialah terdapat lebih ramai pelajar Kanada ke Malaysia untuk melakukan latihan industri dengan syarikat-syarikat Kanada, sebagai sebahagian daripada kerja kursus mereka.

Mengulas lanjut ikatan kukuh antara kedua-dua negara, Aminahtun meminta rakyat Kanada melihat Malaysia dengan segala infrastrukturnya yang maju dan tenaga kerja berkemahiran tinggi selain berkait rapat dengan ekonomi besar-besaran ASEAN, yang menyaksikan Kanada sebagai rakan kongsi dialog selama bertahun-tahun.

Rakan kongsi ke-23

Dari segi ASEAN, Malaysia adalah rakan dagangan ketiga terbesar Kanada.

Sementara itu, Kanada berusaha mempelbagaikan pasarannya dan melihat ke arah Asia terutama China dan India serta negara ASEAN lain, susulan pertikaian perdagangannya dengan Amerika Syarikat.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia tahun lepas, Kanada adalah rakan kongsi ke-23 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-32 terbesar dan sumber import ke-20 terbesar, dengan nilai dagangan antara Malaysia dan Kanada meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM6.57 bilion (2.1 bilion dolar Kanada atau US$1.61 bilion).

Pada masa ini, Malaysia tidak menikmati tarif keutamaan di pasaran Kanada tetapi import bagi produk baja, bijirin, jentera elektrik dan peralatan mekanikal.

Pelaburan Malaysia di Kanada termasuk Royal Selangor Inc, Supermax Healthcare Canada, KNM Process Equipment Inc (pembuatan loji bagi industri pasir berminyak), TA Global Berhad (industri hotel); dan UEM (Kanada) Sunrise Development Corporation (pembangunan hartanah) manakala pelaburan utama Kanada di Malaysia termasuk Celestica (teknologi maklumat dan pembangunan aplikasi yang berpangkalan di Kedah, Johor dan Pulau Pinang), Scotiabank (perbankan); Sun Life (insurans); dan Manulife (insurans).

- Bernama

Lihat Komen
ADS