Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak petisyen PRU14 calon BERSATU Jempol

Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban hari ini menerima permohonan bantahan awal Anggota Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon HARAPAN daripada BERSATU, Kamarulzaman Kamdias.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas mendapati petisyen yang difailkan Kamarulazaman selaku pempetisyen adalah cacat (defective).

“Petisyen yang telah dikemukakan pempestisyen ini adalah cacat dan ditakrifkan gagal mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Justeru bantahan awal yang dikemukakan respondan pertama adalah dibenarkan dan petisyen yang telah difailkan pempetisyen ditolak,” katanya.

Salah seorang peguam, yang mewakili Mohd Salim, Syed Faisal Syed Abdullah, berkata petisyen yang difailkan pempetisyen disifatkan sebagai cacat kerana tiada butiran terperinci mengenai kesalahan yang telah dilakukan dan apakah kesalahan yang telah dilanggar menurut kehendak Kaedah 15 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Peguam Hanif Khatri akan bincang rayuan

Selain itu, Syed Faisal turut mendakwa isi kandungan petisyen hanya mengandungi aduan-aduan dan tidak menyatakan sebarang peruntukan undang-undang yang didakwa telah dilanggar responden di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua peguam Kamarulzaman, Hanif Kathri berkata pihaknya akan berhubung dengan anak guamnya itu bagi membincangkan sama ada akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dalam masa 14 hari.

Kamarulzaman, dalam petisyen yang difailkan pada 12 Jun lalu, mahu membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen tersebut.

Beliau menamakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Jempol, Mohd Salim; Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jempol, Datuk Zazali Salehudin dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pihak responden.

- Bernama

Lihat Komen
ADS