Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Masyarakat di kawasan Parlimen Port Dickson mengharapkan pengalaman yang ada pada Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu melonjakkan ekonomi kawasan itu, sekali gus menjadikannya destinasi pelancongan terkemuka negara.

Mereka rata-rata melahirkan keyakinan bahawa Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR mampu membawa perubahan besar yang lebih moden kepada Port Dickson.

Kata mereka kawasan berkenaan meskipun terkenal sebagai destinasi pelancongan, namun infrastruktur yang sedia ada tidak mampu melonjakkan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan pilihan bertaraf dunia.

"Perlu ada penambahbaikan dari segi kemudahannya, kesihatannya, akses jalan raya dan bangunan sedia ada perlu dinaik taraf bagi menarik lebih ramai pelancong.

"Apabila pelancong ramai, barulah industri pelancongan termasuk industri desa dapat dikembangkan dan memberi pendapatan lebih kepada masyarakat setempat. Apa guna kita bercakap mengenai industri pelancongan dalam masa yang sama kemudahan sedia ada masih ditakuk yang lama dan tiada perubahan," kata Koh Sing Nan, 53, kepada Bernama di Port Dickson, hari ini.

'Peluang Anwar cerah'

Menyifatkan pilihan Anwar yang memilih Port Dickson sebagai tepat, Koh yang merupakan penternak ayam yakin wajah kawasan itu bakal turut berubah memandangkan Anwar juga bakal menjadi perdana menteri kelapan.

"Selain itu saya harap Datuk Seri Anwar boleh memberikan lesen kepada masyarakat Cina untuk menjadi nelayan...ramai yang menyatakan minat tetapi tak dapat lesen," katanya.

Peniaga pakaian, Suzana Jantan, 52, pula mengharapkan agar Port Dickson lebih maju setanding dengan kawasan lain.

"Saya mengharapkan lebih banyak pembangunan di daerah ini malah jika tidak keterlaluan saya nak mencadangkan Datuk Seri supaya diwujudkan RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) bagi kemudahan masyarakat dan pelancong di sini," katanya.

Penduduk tempatan, Razali Abu, 60, berkata peluang Anwar amat cerah di parlimen Port Dickson memandangkan beliau merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman, berkredibiliti serta mempunyai perwatakan yang amat disenangi masyarakat.

Nelayan, Mohd Hasin Abd Razak, 64, pula mahu wakil rakyat yang dipilih nanti mampu menyelesaikan permasalahan perumahan golongan nelayan.

"Kebanyakan nelayan ini tiada tempat tinggal dan hanya menyewa serta menumpang teduh di rumah ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa.

"Masalah ini telah lama berlarutan dan saya harap sekiranya Anwar dipilih, beliau mampu menyelesaikan isu ini," katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson (nama asal Teluk Kemang) diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, melepaskan jawatan wakil rakyat kawasan itu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding sebagai persiapan untuk menjadikan beliau sebagai perdana menteri kelapan.

Parlimen Port Dickson yang memiliki sejumlah 75,381 pengundi mengikut daftar pemilih semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakab kerusi tunggal PKR daripada lima kerusi Parlimen Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.

Parlimen Port Dickson yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah dan Lukut dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (Barisan Nasional) dan Sri Tanjung (nama asal Port Dickson) (PKR).

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan calon PAS Mahfuz Roslan dengan majoriti 17, 110 undi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS