Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MYEG dapat lesen pengambilan pekerja asing
Diterbitkan:  Sep 12, 2018 8:44 PM
Dikemaskini: 12:48 PM

Agensi Pekerjaan MY EG Jobs Sdn Bhd (MYEGJOBS), anak syarikat MY E.G. Services Bhd (MYEG) telah mendapat lesen bagi mengendalikan urusan berkaitan agensi pekerjaan swasta daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, lapor agensi berita nasional.

Bernama melaporkan kenyataan MYEG kepada Bursa Malaysia, yang berkata lesen itu akan membolehkan MYEGJOBS (sebelum ini dikenali sebagai MY EG Jobs Sdn Bhd) menjalankan aktiviti pengambilan pekerja di dalam dan luar Malaysia serta bagi kalangan pekerja bukan warga negara di Malaysia.

Menurut MYEG, lesen dengan tempoh sah selama 24 bulan mulai 1 September, 2018 sehingga 31 Ogos, 2020, juga adalah seiring dengan pelancaran perkhidmatan padanan dan penempatan pekerjaan baru-baru ini yang bertujuan memadankan majikan Malaysia dengan pekerja asing.

“Perkhidmatan itu serta dengan adanya lesen berkenaan dijangka akan menyumbang secara positif kepada kumpulan ini," kata MYEG.

Pada 1 Jun lalu, Jabatan Imigresen mengumumkan khidmat tiga syarikat vendor yang mendapat kontrak kerajaan untuk mengambil semula pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI) akan ditamatkan.

Tiga syarikat itu ialah MyEG Services Sdn Bhd, Iman Resources Sdn Bhd dan Bukti Megah Sdn Bhd, jelas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

"Dengan keputusan kerajaan seperti yang disebut oleh Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semua program ini akan ditamatkan pada akhir bulan Jun," kata Mustafar.

Pada masa lalu, pengkritik mempersoalkan keputusan pentadbiran Barisan Nasional memberikan tiga syarikat itu dengan kontrak monopoli untuk memproses permohonan semula kepada pekerja PATI.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan menyentuh individu yang kononnya dikaitkan dengan Umno telah mendapat manfaat daripada pelantikan syarikat-syarikat berkenaan untuk menjalankan proses yang boleh dilakukan secara langsung oleh Jabatan Imigresen.

Lihat Komen
ADS