'Biarkan Anwar menang, rakyat ingin lihat drama apa lagi lepas ini'
ULASAN | Keputusan Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatan dan mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding merupakan satu pembaziran di saat kerajaan Pakatan Harapan mahu berjimat kerana negara dibebani hutang yang mencecah RM1 trilion.
PKR juga telah mengkhianati amanah pengundi dalam PRU14 kerana sengaja mengadakan PRK semata-mata untuk membolehkan Anwar Ibrahim bertanding seterusnya menjadi Ahli Parlimen.
Ini bukan kali pertama PRK secara sengaja, sebelum ini PKR membuat Langkah Kajang dalam usaha untuk menukar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Kini PKR mengulangi tindakan sama untuk kerusi Parlimen Port Dickson. Rakyat harus menolak mana-mana pihak yang sengaja mengosongkan kerusi yang disandang bagi membolehkan PRK diadakan semata-mata untuk menaikkan seseorang.
Melihat tindakan PKR dan keputusan PRU14, bagi saya Umno/BN tidak perlu bertanding di PRK Port Dickson, biarkan Anwar Ibrahim menang dan bergelar sebagai Ahli Parlimen.
Sekiranya Umno/BN bertanding ibarat mengiktiraf tindakan PKR mengosongkan kerusi parlimen secara sengaja dan mengadakan PRK demi seorang individu.
Port Dickson kubu kuat PKR sejak 2008 dan dalam PRU14, HARAPAN-PKR menang majoriti selesa di kerusi Port Dickson iaitu 17,710 undi.
Berdasarkan kerjasama PAS dan Umno dalam tiga PRK jika ditambah undi yang diperolehi BN dan PAS di Port Dickson sekitar 25,109 undi.
Bagi saya, sekiranya Umno/BN masih sebuah parti kerajaan, peluang BN di Port Dickson sekitar 60/40. Tapi disebabkan Umno/BN kini adalah pembangkang dan berdasarkan rekod dalam PRK sebelum ini, jelas tiada keperluan untuk BN bertanding di Port Dickson.
Persepsi buruk jika BN kalah
Malah Umno/BN pernah tidak bertanding di PRK bagi Parlimen Gelugor dan DUN Chempaka walaupun kekosongan disebabkan penyandangnya meninggal dunia.
Justeru, tiada sebab untuk Umno/BN bertanding PRK Port Dickson, kerusi yang sengaja dikosongkan.
Anwar Ibrahim adalah Presiden PKR di mana PKR adalah parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam HARAPAN. Cuba fikir adakah Presiden kerusi paling banyak mahu masuk Dewan Rakyat dan menjadi Ahli Parlimen biasa?
Paling tidak pun isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail akan diminta lepaskan jawatan TPM dan Tun Mahathir Mohamad perlu melantik Anwar Ibrahim sebagai TPM sebagai persediaan menjadi PM.
Justeru, biarkan saja Anwar Ibrahim menang di Port Dickson, rakyat ingin melihat apa lagi aksi drama selepas ini. Adakah Tun Mahathir akan beri peluang kepada Anwar Ibrahim?
Sekiranya Umno/BN bertanding dan keputusan berpihak kepada HARAPAN dan Anwar Ibrahim ia pasti akan menimbulkan persepsi yang lebih buruk kepada blok pembangkang terutama Umno/BN selepas tewas dalam tiga PRK.
SHAHRUL NASRUN KAMARUDDIN ialah exco Pemuda Umno.
Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.

