Paling Popular
Terkini
story images
story images

PRK PD | Port Dickson telah lama menjadi lokasi percutian hujung minggu bagi penduduk di Lembah Klang, lebih-lebih lagi terdapat banyak restoran pantai dan makanan laut di kawasan sekitarnya.

Namun pada minggu-minggu mendatang, Port Dickson dan kawasan sekitarnya akan menjadi medan pertempuran politik bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan partinya, PKR.

Anwar mengharapkan penduduk kawasan itu akan memberikan mandat kepadanya untuk kembali semula ke parlimen dan pada masa sama merupakan pelan persediaan untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

Port Dickson merupakan kawasan parlimen merangkumi pantai di Negeri Sembilan - dari Sungai Sepang yang bersempadan Selangor dan Sungai Linggi yang bersempadan Melaka.

Kawasan ini yang dibangunkan pada tahun 1974 dengan nama Teluk Kemang, dianggap sebagai kubu kuat BN dan MIC sehinggalah kerusi itu ditawan Datuk Kamarul Bahrin Abbas dari PKR pada tahun 2008.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dari PKR mengekalkan kemenangan parti itu dengan memperoleh 59 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.

Semalam, beliau mengumumkan peletakan jawatannya untuk memudahkan penyertaan Anwar ke Parlimen.

Pengundi di kerusi Port Dickson terdiri daripada pelbagai etnik, manakala kesemua parti politik - Umno, MCA, MIC, PKR, DAP dan PAS bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimen berkenaan pada 9 Mei lalu.

Menurut data PRU14, kawasan parlimen ini terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus.

DUN di bawah Port Dickson

Terdapat lima kawasan DUN dalam parlimen Port Dickson iaitu Chuah, Lukut, Sri Tanjung, Bagan Pinang dan Linggi.

Pengundi di Chuah dan Lukut terdiri daripada majoriti pengundi Cina.

Sri Tanjung merupakan kawasan campuran pelbagai kaum dan terletaknya industri minyak dan gas di Port Dickson.

Dua lagi DUN ialah Bagan Pinang dan Linggi yang penduduknya terdiri daripada majoriti pengundi Melayu dan merupakan kawasan bagi penginapan percutian di Port Dickson. Manakala Kem tentera Segenting juga terletak di Bagan Pinang.

Sejak 2008, BN hanya dapat bertahan di DUN Bagan Pinang dan Linggi.

Parlimen Port Dickson berkeluasan sekitar 577 kilometer persegi atau kira-kira 70 peratus daripada saiz negeri Perlis.

Walaupun kawasan itu luas, penduduknya sebahagian besar tertumpu di sepanjang pantai, yang menjadikan kempen pilihan raya kali ini lebih mudah.

Di luar pantai di bahagian utara terdiri daripada perkampungan Cina dan ladang estate yang kini semakin maju dengan projek perumahan baru.

Bagi mereka yang akan berkempen terutama daripada Pakatan Harapan, cabaran tertumpu di bahagian selatan yang terletak banyak perkampungan Melayu dan merupakan kubu kuat BN.

Pengundi di Port Dickson akan keluar mengundi dalam PRK ini untuk kali kedua selepas PRK DUN Bagan Pinang pada 2009 yang menyaksikan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dari Umno menewaskan Zulkefly Mohamad Omar daripada PAS.

Zulkefly kini menyertai parti AMANAH dan merupakan speaker di DUN Negeri Sembilan.

Faktor yang perlu dipertimbangkan

Walaupun HARAPAN menang di Port Dickson dengan majoriti 17,710 undi pada 9 Mei lalu, jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah dapat dilihat dalam tiga pilihan raya kecil baru-baru ini, selain kerjasama Umno dengan PAS menjadikan cabaran lebih sengit.

Sebagai contoh, pada PRK di Seri Setia yang diadakan Sabtu lalu - undi kepada HARAPAN menurun sebanyak lapan peratus iaitu sebanyak 58.6 peratus berbanding 66.6 peratus semasa PRU14.

Ini disebabkan jumlah peratusan keluar mengundi menurun kepada 44.1 peratus daripada 84.4 peratus pada PRU14.

Disebabkan HARAPAN menang di Port Dickson dengan menguasai hanya 59 peratus undi pada 9 Mei, penurunan lapan peratus yang sama akan meletakkan gabungan itu dalam kedudukan yang tidak menentu.

Kadar peratusan keluar mengundi di Port Dickson pada PRU14 lalu adalah sebanyak 81.5 peratus.

Faktor lain yang mungkin menghalang pengundi keluar mengundi adalah disebabkan pendapat yang mengatakan PRK ini tidak perlu diadakan dan merupakan suatu pembaziran wang rakyat memandangkan tiada keperluan bagi penyandangnya untuk meletakkan jawatan.

Semalam, pemimpin PKR segera menjawab isu itu dengan mengatakan pengundi di Port Dickson akan mendapat lebih banyak manfaat pada masa akan datang sekiranya Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli juga berkata partinya mengambil iktibar mengenai peratusan keluar mengundi yang rendah dalam pilihan raya kecil sebelum ini, dan mengatakan Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar ditugaskan untuk menggerakkan pengundi agar keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Lihat Komen
ADS