ULASAN | Cuaca di Kuala Terengganu begitu baik menyambut kehadiran perwakilan ke Muktamar PAS dari seluruh negara bermula hari ini.

Deru angin nan lembut begitu ramah mengimbangi hangat udara negeri Darul Iman ini.

Acara tahunan PAS ini pastinya menjadi tumpuan bukan saja di kalangan ahli dan penyokongnya, malah turut menarik perhatian musuh politik mereka.

Segala keputusan, idea dan pemikiran khususnya daripada pimpinan tertinggi sentiasa dinanti-nanti.

Mungkin ada kejutan, strategi atau silaturrahim baru dalam kancah politik semasa negara hari ini.

Tahun lalu di Muktamar PAS ke-63 yang berlangsung di Kedah, PAS mengakhiri tahaluf siyasi dengan PKR.

Parti Islam itu memilih untuk berjuang bersendirian dengan menubuhkan Gagasan Sejahtera bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Kini, gabungan itu tidak lagi disebut-sebut malah PAS terus mengorak langkah sebagai 'otai' seiring dengan BN sebagai pembangkang baru.

Rentetan itu, sama ada PAS atau BN khususnya Umno mula mengenepikan curiga masa lalu.

Mereka berganding bahu sebagai pembangkang menghadapi tiga pilihan raya kecil (PRK) dengan strategi tersendiri.

Bibit-bibit silaturrahim politik antara PAS dan Umno kian bercambah khususnya selepas masing-masing bersama dalam PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, baru-baru ini.

Justeru, pada Muktamar PAS ke-64 kali ini, mungkinkah ada sesuatu keputusan atau idea baru bakal dilontarkan daripada sisi pandang kepimpinan ulama, pemuda, muslimat dan pimpinan di peringkat pusat?

Ketika penulis menemui Pengerusi Penasihat PAS, Datuk Mustafa Ali baru-baru ini, beliau menegaskan betapa Muktamar kali ini seharusnya diisi dengan perancangan untuk mengembleng tenaga dalam menghadapi siasah dan cabaran politik depan.

Veteran PAS itu memberi reaksi bahawa PAS perlu bertindak awal untuk menghadapi situasi politik mutakhir sekali gus persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Jaga kepentingan Melayu, Islam

Kini, selepas berjaya mengurangkan majoriti Pakatan Harapan (HARAPAN), PAS pastinya sudah melakukan post-mortem dan penelitian strategi seterusnya termasuk menghadapi satu lagi PRK di Port Dickson.

Sama ada meletakkan calon sendiri atau memberi laluan kepada BN itu hal yang lain, namun lebih penting apakah silaturrahim antara PAS dan Umno akan diterjemahkan dengan kerjasama lebih menonjol untuk lawan yang tidak asing bagi mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sayugia diingatkan, beberapa hari lalu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi penegaskan bahawa taawun antara PAS dan Umno adalah demi Melayu dan Islam.

Tiada asbab lain lagi, melainkan untuk menjaga kepentingan bani Melayu dan umat Islam di negara ini.

Jadi sempena Muktamar kali ini, atas persetujuan dan kefahaman bersama, Umno turut menyatakan komitmen untuk turut hadir. Mungkin boleh kita dikatakan sebagai tetamu baru dan sebagai apa sekali pun.

Kini bukan lagi soal siapa akan peluk siapa dulu, tetapi mungkin kesatuan doa dalam kesepaduan hasrat akan terhimpun dengan genggaman harapan bersama.

Tidak mustahil bakal ada kejutan di luar jangkaan, sisi-sisi pendekatan yang lebih terkini dan luar biasa demi kesinambungan perjuangan yang semakin bersinar.

Dan seperti biasa kita bakal mendengar laungan semangat 'takbir'. Atau kali ini mungkinkah akan muncul kalimat baru sebagai tambahan, misalnya 'hidup Melayu-Islam' bergema dari dinding ke dinding Stadium Tertutup Negeri Terengganu? Sama-sama kita nantikan.


N FAIZAL GHAZALI merupakan wartawan Malaysiakini yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.