MB minta k'jaan pusat teruskan pembangunan infrastruktur K'tan
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob meminta kerajaan persekutuan agar meneruskan pembangunan infrastruktur di negeri ini sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan terdahulu.
Ahmad berkata infrastruktur paling utama yang perlu disegerakan di Kelantan ketika ini adalah menyiapkan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang selain projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.
Penyediaan kemudahan infrastruktur oleh kerajaan akan membantu melancarkan usaha Kelantan dalam melonjakkan pengeluaran hasil yang lebih baik selain memberi keselesaan kepada rakyat. Manakala sebuah negara tidak mungkin boleh diisytiharkan sebagai negara maju jika masih ada kawasannya ketinggalan dari segi infrastruktur.
“Sebagai sebuah kerajaan baharu yang mengamalkan sistem demokrasi, adalah tidak wajar jika perkara ini tidak diambil perhatian kerana ia tanggungjawab kerajaan dan bukan atas dasar kepartian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Khasnya kepada Penjawat Awam Negeri Kelantan yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini. .
Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad berkata antara perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam membangunkan Kelantan adalah menambah peluang pekerjaan melalui industri hiliran berasaskan sumber asli, menjayakan program kebersihan dan menangani gejala sosial.
Beliau berkata pelbagai langkah dan usaha akan diperkasakan terutama dengan menambahbaik aspek pentadbiran dan menguatkuasakan undang-undang dalam memastikan tiga elemen penting itu dapat dicapai.
- Bernama

