GLOBAL Perdana Menteri Australia Scott Morrison telah menolak gesaan pemimpin terdahulu, Malcolm Turnbull, untuk merujuk Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Peter Dutton ke Mahkamah Tinggi berhubung isu kelayakan.

Morrison pada hari Khamis berkata rakyat Australia sudah jemu disajikan dengan isu itu dan fokus beliau kini adalah "sepenuhnya terhadap apa yang negara perlukan ketika ini."

Menurut agensi berita China Xinhua, kenyataan beliau adalah respons kepada satu hantaran media sosial oleh Turnbull yang menggesa penggantinya itu untuk merujuk Dutton ke Mahkamah Tinggi.

Dutton merupakan perancang utama kejatuhan Turnbull sebagai perdana menteri, yang membawa kepada pemberontakan dalam parti konservatif terhadapnya sebelum pemimpin itu ditewaskan oleh Morrison dalam undian pemilihan kepimpinan gabungan parti pemerintah, iaitu Parti Liberal Australia dan Parti Nasional Australia, selepas Turnbull mengundurkan diri.

Persoalan telah dibangkitkan berhubung kelayakan menteri hal ehwal dalam negeri itu menduduki kerusi parlimen selepas pendedahan bahawa keluarganya mempunyai kepentingan kewangan dalam dua pusat penjagaan kanak-kanak yang disubsidi oleh kerajaan.

Perlembagaan Australia mengharamkan ahli politik daripada mendapat faedah kewangan dari negara Komanwel itu.

Turnbull telah meminta nasihat perundangan daripada Peguamcara Negara Stephen Donaghue ketika krisis kepimpinan namun Donaghue memaklumkan bahawa Dutton layak kekal dalam parlimen namun beliau tidak begitu pasti.

"Perkara yang telah saya kemukakan kepada Scott Morrison dan rakan-rakan lain ialah memandangkan terdapat ketidakpastian berkaitan kelayakan Peter Dutton, seperti yang diakui peguamcara negara, beliau harus dirujuk ke Mahkamah Tinggi... untuk menjelaskan isu tersebut," kata Turnbull, yang telah membuat keputusan untuk meninggalkan dunia politik, menerusi media sosial pada awal pagi Khamis.

Pembangkang, Parti Buruh Australia, telah mengemukakan permohonan agar Dutton dirujuk ke Mahkamah Tinggi sehari sebelum perubahan dalam kepimpinan namun Turnbull dan kerajaan berjaya menyingkirkan usul itu.

Dutton telah mendapatkan nasihat perundangannya sendiri yang berjaya membersihkan beliau daripada dakwaan melanggar perlembagaan.

- Bernama