Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Balu, anak Jamaluddin Jarjis dibenar mencelah tuntutan harta pusaka

Balu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Kalsom Ismail dan empat anaknya hari ini dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mencelah dalam tuntutan ibu mertuanya berhubung RM2.1 bilion faraid yang ditinggalkan Allahyarham.

Ia susulan tiada bantahan daripada ibu mertuanya, Aminah Abdullah di hadapan mahkamah.

Malaysiakini difahamkan Kalsom dan anak-anaknya yang berumur antara 23 hingga 33 tahun, memfailkan tuntutan faraid pada 2016, yang dikatakan tanpa pengetahuan Aminah.

Mahkamah juga membenarkan Kalsom dan keluarganya memfailkan bantahan awal kepada tuntutan Aminah.

Keputusan itu dibuat oleh pegawai pendaftar Siti Zulaikha Mansor.

Kalsom dan anak-anaknya doberikan tiga minggu untuk memfailkan bantahan awal sementara mahkamah menetapkan 15 Okt untuk sebutan kes.

Peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman hadir mewakili Aminah sementara peguam Shamsuriah Sulaiman mewakili Kalsom dan Zuri Zabuddin Budiman bagi kanak-kanak Kalsom.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Aminah, 83, memfailkan petisyen pada Mac bagi menuntut haknya di bawah faraid.

Petisyen itu difailkan di mahkamah untuk mengiktiraf bahawa dia adalah penuntut sah - selain Kalsom dan anak-anaknya.

Di bawah undang-undang Islam, sekiranya si mati tidak meninggalkan wasiat, ibu si mati berhak menerima satu per enam harta pusaka, sementara balunya mendapat satu per lapan. Selebihnya perlu diberikan kepada anak si mati.

Dalam petisyennya, Aminah memfailkan hartanah termasuk rumah di Malaysia, Arab Saudi, dan AS sebagai antara harta pusaka.

Harta pusaka yang lain juga termasuk saham yang dimiliki bekas menteri itu dan yang didakwa diberikan kepada cucu-cucunya.

Kesemua aset terdiri daripada 22 hartanah, kebanyakannya di Pahang dan Lembah Klang, 21 akaun bank dengan jumlah wang RM15 juta termasuk satu akaun di AS dan saham di 15 syarikat.

Aminah berkahwin dengan bapa Jamaluddin sebelum bercerai pada 1954 dan seterusnya membesarkan Jamaluddin dengan dua adik beradiknya yang lain melalui perkahwinan keduanya.

Jamaluddin yang merupakan bekas anggota parlimen Rompin, dikatakan merupakan kawan rapat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan pernah memegang pelbagai jawatan kabinet.

Allahyarham dan beberapa yang lain, termasuk setiausaha peribadi Najib, Azlin Alias, terkorban apabila helikopter yang dinaiki mereka pada 4 April 2015 terhempas.

Laporan daripada siasatan insiden itu mendakwa ia disebabkan kecuaian juruterbang.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS