Sultan Johor: Orang luar jangan campur tangan hal agama Islam Johor
Sultan Johor mengingatkan agar "orang luar" tidak campur tangan atau memberi pendapat berhubung keputusan yang dibuat kerajaan negeri berhubung hal-ehwal agama Islam negeri itu.
Dalam titah baginda pada majlis perasmian 100 tahun pendidikan Islam Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga menyorot bahawa kuasa pentadbiran hal ehwal agama Islam dikekalkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Oleh demikian, semua pihak harus faham bahawa segala urusan berkaitan agama Islam, termasuk undang-undang Syariah, sekolah agama dan sebagainya adalah hak negeri,” titah Sultan Ibrahim.
"Oleh itu, semua pihak mestilah menghormati apa juga keputusan yang telah dibuat kerajaan negeri dan orang luar tidak perlu campur tangan atau memberi pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan atau kekecohan.
"Saya berharap kerajaan saya akan memikul amanah dan tanggungjawab dengan berani dan tegas dalam semua perkara yang berkaitan di bawah bidang kuasa negeri dan mempertahankan kepentingan negeri dan bangsa Johor pada setiap masa," titah baginda.
Baginda bagaimanapun tidak merujuk atau menjelaskan "campur tangan" yang dimaksudkan.
Selain itu, Sultan Ibrahim juga bertitah bahawa semua pusat tahfiz di Johor perlu diiktiraf secara rasmi sebelum dibenarkan beroperasi.
"Mana-mana pusat tahfiz yang melanggar syarat hendaklah ditutup," katanya.

