Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Pemerintah mesti tegas tegakkan syariat Islam

MUKTAMAR | PAS menegaskan dasar Islam dalam pentadbiran negara perlu bermula daripada pemilihan kepimpinan atau parti yang memerintah, kata Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Menurut Mahfodz, pentadbiran berlandaskan syariat hanya akan dapat dilaksanakan apabila pemimpin mempunyai fikrah yang jelas mengenai perjuangan Islam.

"Soal agama adalah soal utama dan menjadi prioriti dalam membincangkan dasar pentadbiran negara.

"Dalam soal pembentukan rumah tangga yang membina komuniti kecil menerusi kekeluargaan juga mementingkan soal agama, apatah lagi dalam membangunkan sebuah negara yang lebih besar," katanya kepada perwakilan di Muktamar Dewan Ulama PAS ke-57 di Kuala Terengganu hari ini.

"Sudah pasti dasarnya hendaklah berpaksikan kepada agama Islam. Lantaran itu, amat jelik apabila terdapat suara dalam PRU14 baru-baru ini menyatakan soal memilih pemerintah bukan soal memilih agama.

"Seolah-olah pemimpin tiada kaitan yang dipertanggungjawabkan dalam urusan menjaga dan mengurus tadbir agama," katanya.

Beliau berkata kesan daripada penolakan syariat Islam dapat dilihat daripada pelbagai isu yang timbul baru-baru ini, termasuk kritikan secara terbuka terhadap pelaksanaan undang-undang syariah ke atas pasangan lesbian di Terengganu.

"Kesannya, boleh dilihat sekarang dengan pelbagai isu yang tidak menyenangkan khasnya isu agama seperti pertikaian secara terang-terangan terhadap sebatan syariah yang dilaksanakan oleh mahkamah shariah di Terengganu.

"Begitu juga isu menangani pergerakan LGBT yang dilihat membuka ruang kepada aktivis LGBT apabila dijemput bersama dalam sidang media selepas pertemuan dengan pihak mereka dan ini menjadikan ia mendapat perhatian umum," kata Mahfodz.

Beliau merujuk hukuman sebat terhadap dua wanita oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Terengganu awal bulan ini; dan sidang akhbar yang diadakan oleh menteri agama, Mujahid Yusof bersama seorang transgender, Nisha Ayub pada bulan Ogos lalu.

Menurut Mahfodz, pemerintah mesti tegas untuk menegakkan syariat Islam serta mempertahankannya.

"Ketegasan ini bagi menjadikan kehidupan masyarakat yang sempurna dan selamat daripada sebarang kezaliman dan sikap melampaui batas.

"Malah dalam masa yang sama bertimbang rasa bagi memastikan hak-hak seperti keadilan, kebajikan, perlindungan dan sebagainya diperolehi oleh semua rakyat sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam," jelasnya.

Lihat Komen
ADS