Seekor Orang Utan ditemui mati dengan kesan tembakan di Sungai Kinabatangan pada Selasa.
Pegawai Seranta Jabatan Hidupan Liar Sabah Siti Nur’ain Ampuan Acheh berkata post-mortem ke atas Orang Utan betina berkenaan menemukan tiga butir peluru penabur di dalam tubuhnya dan haiwan itu mati akibat pendarahan dalaman yang teruk.
Jabatan menerima laporan berhubung karkas haiwan spesies paling terancam itu dilihat hanyut di Sungai Kinabatangan dan petugas Pejabat Hidupan Liar Kinabatangan serta warden hidupan liar kehormat daripada HUTAN-Kinabatangan Orangutan Conservation memulakan pencarian, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan mencari menemui karkas tersebut pada hari sama kira-kira 500 meter dari tempat ia dilaporkan dilihat hanyut.
Siti Nur’ain berkata Orang Utan yang dianggarkan berusia 30 tahun tersebut mempunyai luka fizikal pada abdomen, bahu dan kaki.
Katanya satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian dan beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu agar menyalurkan maklumat kepada Pejabat Hidupan Liar Kinabatangan.
- Bernama
