Pemuda PAS diseru terima keputusan pimpinan demi Islam dan Melayu
MUKTAMAR PAS | Pemuda PAS menyeru agar anggota dan penyokong parti menerima dan menyokong sebarang keputusan pimpinan bagi memastikan survival utama masyarakat Islam dan Melayu di negara ini.
Ketuanya Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kedudukan politik semasa perlu dinilai semula dan pihaknya perlu menerima dan menyokong sebarang keputusan.
"Benar ada pihak bermasalah dan kalah, tapi demi Islam kita mengajak kepada kesatuan.
"Benar ada pihak memimpin dan menang, tetapi demi Islam kita juga sedia berpadu.
"Maka kita menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk menentukan hala tuju perpaduan Islam dan Melayu yang dicadangkan, " katanya ketika menyampaikan Ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-59, di Kuala Terengganu, hari ini.
Walaupun tidak menyebut secara jelas, dipercayai kenyataan itu merujuk kepada hubungan antara PAS dan Umno yang semakin mengeratkan kerjasama antara satu sama lain selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.
Ia termasuk kerjasama dan kesepakatan dalam menghadapi tiga pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini.
Muhamad Khalil menambah, situasi politik yang menjadi kian rencam di masa depan menuntut "kefaqihan" seluruh ahli PAS termasuk pemuda hingga berupaya menyulam gerakan secara aktif dan inovatif.
"Saya percaya, keupayaan sekurang-kurangnya dalam kedua cabang fiqh ini, bahkan jika boleh lebih daripada itu akan menjadikan PAS penggerak politik yang sentiasa terkehadapan," jelasnya.
Terdahulu, anggota dewan undangan negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata, budaya politik matang dan sejahtera perlu terus dihidang kepada rakyat sehingga ia benar-benar membudaya dan sentiasa relevan dalam menempuh massa.
Katanya, asas berkaitan perlu diteguhkan lagi dengan kemampuan mengadun gerakan dan pertimbangan yang terbaik menurut neraca syarak.
"Fiqh muwazanat dan fiqh awlawiyat boleh menjadi antara pedoman untuk melakukan pertimbangan bagi memutuskan langkah," katanya.

