Mahkamah Persekutuan hari ini menyoal peguam daripada Majlis Peguam dan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung sama ada sebuah kes yang mencabar keperlembagaan pelantikan dua bekas hakim sebagai akademik semata-mata.

Ia berhubung pelantikan Tun Mohd Raus Sharif sebagai ketua hakim negara dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

AGC yang diwakili peguam kanan persekutuan Suzana Atan berkata perletakan jawatan Raus dan Zulkefli adalah soal akademik manakala pelantikan mereka mengikut perlembagaan.

Peguam Datuk S Ambiga yang mewakili Majlis Peguam yang memfailkan kes itu bagaimanapun berhujah kes itu bukan akademik kerana ada persoalan undang-undang yang mempunyai kepentingan am dan perlu dijawab.

Wakil Persatuan Undang-undang Sabah Roger Chin dan Haniff Khatri Abdulla - peguam pemerhati - menyokong pendirian itu, dan menambah Mahkamah Persekutuan perlu memberikan panduan tentang bagaimana untuk mentafsirkan perlembagaan dalam perkara ini untuk rujukan akan datang.

Begitu juga dengan peguam pencelah Adzly Abdul Manaf daripada Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) - yang mewakili Tan Sri Shafee Abdullah yang tidak hadir - turut berkata ia bukan perkara akademik, walaupun yakin pelantikan Raus dan Zulkefli mengikut perlembagaan.

Sementara itu, panel tujuh hakim turut menyoal peguam yang mempersoalkan keanggotaan panel, atas sebab salah seorang anggota Hakim Tan Sri Zaharah Ibrahim dinaikkan sebagai Hakim Besar Malaya selepas Raus dan Zulkefli meletakkan jawatan.

Semua peguam yang berpandangan kes itu tidak akademik menyifatkan panel sebagai kompeten.

Ambiga juga berkata Majlis Peguam yakin tidak wujud konflik kepentingan memandangkan kes itu tiada kesan terhadap pelantikan semasa.

Katanya lagi, walaupun jika ada panel yang disyaki mempunyai konflik itu, Seksysn 78 Akta Mahkamah Kehakiman membenarkan panel membuat keputusan majoriti.

Suzana setuju dengan tafsiran Ambiga terhadap seksyen itu tetapi berkata Zaharah memang mempunyai konflik kepentingan untuk menganggotai panel hakim.

Kes tersebut ditangguh sementara menunggu keputusan berhubung penjelasan yang diminta panel hakim yang diketuai Hakim Tan Sri Hasan Lah.

Terdahulu, Ambiga berhujah di depan hakim bahawa tindakan kerajaan lalu mengekalkan Raus dan Zulkefli untuk dua tahun lagi, walaupun telah melepas usia bersara wajib, telah menjejaskan kebebasan kehakiman.

Raus dan Zulkefli meletakkan jawatan secara sukarela pada Julai lalu. Mereka digantikan oleh Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara dan Tan Sri Ahmad Ma'arop sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

Ketika pendengaran, empat soalan undang-undang dibangkitkan kepada panel tujuh hakim itu, iaitu:

Sama ada Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan membolahkan hakim tambahan dilantik atas nasihat ketua hakim, yang mana akan dilantik selepas ketua hakim bersara.

Sama ada Artikel 121(1A), yang dibaca bersama Artikal 122B(1), Artikel 122B(2), dan Artikel 125(1) Perlembagaan Persekutuan, seorang hakim tambahan boleh dilantik sebagai ketua hakim negara atau presiden Mahkamah Rayuan.

Sama ada pelantikan hakim oleh Yang di-Pertuan Agong bawah Artikel 122(1A) dan 122B(1) Perlembagaan Persekutuan boleh dibawa ke mahkamah dan dibicarakan.

Sama ada pelantikan hakim tambahan dan selepas itu ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan, yang diumum ketika mereka masih menjadi hakim dan berkuatkuasa selepas persaraan, mencabuli Artikel 121(1), Artikel 122(1A) dan Artikel 125(1) Perlembagaan Persekutuan.