Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: RM2.97 bilion masuk akaun Najib
Diterbitkan:  Sep 13, 2018 6:02 PM
Dikemaskini: 11:58 AM

Siasatan polis mendapati sejumlah AS$972 juta (RM2.973 bilion) dipindahkan ke akaun bank AmIslamic milik bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata jumlah itu disalurkan melalui tiga fasa membabitkan firma Good Star, Aabar dan Tanore.

Sehingga kini katanya, sebanyak 132 transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram telah dikenalpasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Rashid berkata polis telah merekodkan keterangan daripada 64 orang, termasuk Najib dan anak perempuannya Nooryana Najwa.

Beliau juga berkata lebih ramai individu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Angka RM2.973 bilion dikira berdasarkan kadar pertukaran wang ketika pelbagai transaksi berlaku.

Bagaimanapun, AS$972 juta jika berdasarkan kadar pertukaran hari ini adalah berjumlah RM3.985 bilion.

Bercakap dengan pemberita kemudian, Rashid berkata polis juga telah mengenalpasti 50 individu yang menerima wang daripada transaksi itu.

Ditanya berapa ramai daripadanya adalah ahli politik, beliau menjawab: "Ya, berkaitan dengan politik. Saya tidak ingin komen lebih lanjut."

selain itu, Rashid juga ditanya tentang lokasi ahli perniagaan Jho Low, yang merupakan salah seorang watak utama dalam skandal 1MDB.

"Saya tidak boleh sahkan di mana dia sekarang. Tentulah kita ada maklumat, tetapi ia melibatkan kedaulatan negara lain yang kita perlu hormati.

"Kita tak boleh hantar pegawai ke negara lain dan membuat tangkapan di sana. Kita perlukan bantuan, kelulusan dan kerjasama daripada negara berkaitan," katanya.

Ditanya jika Jho Low berada di Asia, Rashid hanya ketawa dan membalas: "Saya sudah beritahu tak akan komen sehingga itu."

Lihat Komen
ADS