MUKTAMAR PAS | PAS menggesa agar satu akta perlu digubal bagi menghalang mana-mana wakil rakyat mengosongkan kerusi tanpa sebab munasabah.

Merujuk kepada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada keperluan untuk diadakan PRK tersebut melainkan pembaziran wang rakyat.

Justeru katanya, PAS mencadangkan supaya diadakan satu peraturan baru supaya wakil rakyat tidak mengosongkan kerusi atas kepentingan tertentu.

"Mungkin satu undang-undang perlu digubal supaya ahli parlimen tidak mudah-mudah letak jawatan kerana nak beri laluan kepada orang tertentu.

"Mungkin lepas ini beri laluan kepada pak saudara, anak saudara pula dan akhirnya jadi caca merba," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-59 di Kuala Terengganu, hari ini.

Semalam, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Anggota Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sebagai persiapan untuk menjadikannya sebagai perdana menteri kelapan.

Justeru itu Tuan Ibrahim yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berkata, PRK Port Dickson itu juga sewajarnya tidak berlaku ketika negara mengalami krisis kewangan.

"Ketika negara sedang mengalami masalah kewangan yang serius sampai BR1M pun dibatalkan, rakyat menderita, tiba-tiba kita adakan pilihan raya yang tak ada keperluan sangat.

"Bagi kita pilihan raya kecil ini perlu diadakan bila ada keperluan seperti kematian dan bankrap.

"Walaupun dalam demokrasi itu hak, tetapi bagi kita tidak perlu agar rakyat tidak habiskan masa dan kewangan," jelasnya.