Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis mendapati sejumlah AS$972 juta disalurkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak ketika beliau menjadi perdana menteri.

Polis berkata nilainya bersamaan RM2.973 bilion. Tetapi ia berdasarkan kadar tukaran ketika transaksi itu berlaku iaitu daripada 2012 hingga 2013.

Namun berdasarkan tukaran semasa (AS$1 = RM4.10) nilainya mencecah RM3.985 juta.

AS$681 juta daripadanya diketahui umum, iaitu "RM2.6 bilion" berdasarkan kadar tukaran ketika ia pertama kali didedahkan Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report pada Julai 2015.

Jumlah itu bernilai RM2.972 bilion hari ini.

Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), AS$681 juta itu berasal daripada Tanore Finance Corporation, dan sumber dananya adalah daripada bon ketiga 1MDB yang diraih pada 2013 yang dikatakan untuk satu usaha sama dengan Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC).

Digelar sebagai "Fasa Tanore", transaksi itu berlaku antara Mac hingga April 2013.

DOJ menjelaskan bagaimana dana 1MDB berada pada Tanore dan perinciannya juga boleh didapati di laman mikro Malaysiakini bertajuk 'Stolen' 1MDB Funds: The DOJ Lawsuit Revisited.

Menurut DOJ, Tanore secara benifisiari dimiliki Eric Tan Kim Lonng, dipercayai rakan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low. Low dipercayai menggunakan nama Tan sebagai aliasnya.

Bakinya pula dari mana

Jadi dari mana baki AS$291 juta itu datang?

Perincian tentang sumbernya didedahkan sedikit demi sedikit dan mendapat liputan meluas pelbagai media antarabangsa termasuk WSJ, Sarawak Report dan ABC News Australia.

Berdasarkan laporan itu dan penyiasatan pelbagai negara, boleh dikatakan daripada AS$291 juta itu, AS$170 juta datang daripada Blackstone Asia Real Estate Partner Ltd dan lagi AS$120 juta daripada individu dengan "Putera Faisal bin Turkey".

Menurut DOJ, dana Blackstone berasal daripada bon berganda 1MDB bernilai AS3.5 bilion yang diraih dengan bantuan Goldman Sachs pada 2012, dikatakan untuk membeli aset tenaga. AS$1.367 daripada bon itu didakwa telah diselewengkan.

DOJ menyifatkannya sebagai "Fasa Aabar-BVI" dan perincian bagaimana wang 1MDB boleh berada pada Aabar Investments PJS (British Virgin Islands) dan kemudiannya Blackstone boleh dilihat di sini.

Bagi AS$120 juta daripada Putera Faisal pula, Najib berulangkali menggunakannya untuk mendakwa semua wang yang diterima adalah "derma" daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Putera Faisal dan ahli perniagaan Tarek Obaid adalah pengasas bertama Petrosaudi International. Tarek juga sekutu utama Jho Low dalam dakwaan pengubahan wang 1MDB.

Dinamakan sebagai "Saudi Associate 1 dan 2" dalam dokumen DOJ, dana 1MDB disalurkan ke akaun mereka selepas pelaburan syarikat itu yang bernilai AS$1.03 juta dalam usaha sama dengan PetroSaudi International dialihkan ke Good Star Ltd, syarikat yang dikawal Low.

Good Star kemudian memindahkan wang itu kepada Tarek dan Putera Faisal.

Perincian tentang bagaimana dana 1MDB dipindahkan ke Good Star dan kemudian disebarkan kepada sejumlah pihak - dinamakan sebagai "Fasa Good Star" - boleh dilihat di sini.

Menariknya, ada dua transaksi berjumlah AS$80 juta yang memang datang secara langsung daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Transaksi itu berlaku antara Ogos dan November 2011. Polis tidak menyebut perkara itu dalam pengumumannya hari ini.

Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk wang AS$80 juta itu datang daripada sumber yang tidak sah.

Lihat Komen
ADS