Kerjasama PAS-Umno: Orang bercinta cakap perlahan walau berjauhan
MUKTAMAR PAS | PAS memberi gambaran bahawa kerjasama mereka dengan Umno semakin diberi penekanan walaupun kenyataan mengenai perkara itu dilontarkan secara kiasan.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mana-mana individu yang saling bercinta tidak akan bercakap dengan kuat sebaliknya menggunakan suara yang perlahan.
"Kenapa orang bercinta bercakap perlahan walaupun duduk jauh? Kerana hati mereka dekat. Kenapa orang yang berkelahi, walaupun duduk dekat mereka meninggikan suara. Kerana hati mereka (sudah) jauh.
"Yang penting bukan fizikalnya, tetapi hatinya. Keinginan hati untuk melihat Islam bangkit semula di Malaysia perlu digarapkan menerusi satu bentuk penyatuan umat Islam, bukannya amalan assabiah yang dilarang nabi,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-59 di Kuala Terengganu, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, sudah tiba masanya untuk negara dibawa kepada nilai-nilai kepada apa yang diturunkan oleh Allah setelah gagalnya sistem yang dicipta manusia.
Sambil memetik firmah Allah, Tuan Ibrahim menyeru agar orang Islam duduk berbincang dan mencari muafakat seperti digariskan dalam al-Quran.
"Katakanlah kepada ahli kitab, marilah kita duduk bersama berbincang perkara sama antara kami dan kamu, ada perkara sama kalau kita inginkan menyatuan umat atas nama Islam kita perlu besarkan perkara yang sama, supaya kecil perkara yang berbeza.
"Kalau kita inginkan perpecahan kita perlu besarkan perbezaan supaya kita tidak nampak persamaan," ujar anggota parlimen Kubang Kerian itu.

