Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS saran k'jaan persekutuan jadikan Kelantan negeri contoh

MUKTAMAR | Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed menyarankan kerajaan persekutuan menjadikan Kelantan sebagai negeri contoh.

Beliau berkata, ia berikutan kejayaan kerajaan negeri pimpinan PAS dalam menguruskan ekonomi dan mengekalkan integriti pentadbirannya.

Berucap dalam Muktamar PAS di Kuala Terengganu hari ini, beliau turut mengkritik pelaksanaan semula sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menurutnya tiada beza dengan GST.

Katanya, Malaysia bukanlah negara yang berdepan masalah menjana pendapatan apabila hasil negara meningkat sebanyak RM20 bilion setiap tahun.

Tetapi, katanya lagi, masalah timbul apabila perbelanjaan tidak diuruskan secara berhemah serta Islam tidak dijadikan penyelesaian dalam pentadbiran negara.

"PAS tidak hanya bercakap kosong, kerajaan PAS Kelantan telah membuktikan pelbagai kejayaan. Ia berjaya meningkatkan pungutan hasli sebanyak RM566.52 juta pada 2017 berbanding RM497.2 juta pada 2016.

"Anggaran lebihan dalam belanjawan negeri pada 2017 pula sebanyak RM38.76 juta berbanding belanjawan defisit RM33.47 juta pada tahun sebelumnya. Ini adalah rekod yang membuktikan kejayaan PAS dalam mentadbir negeri," katanya.

Beliau juga mendakwa Kelantan mengekalkan rekod sifar rasuah sepanjang 27 tahun mentadbir negeri itu apabila tiada pemimpin dan pegawai kerajaan yang didakwa atau disabit tuduhan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Inilah model yang dimiliki Pas yang mesti dibawa ke peringkat persekutuan," kata Mahfodz lagi dalam ucapan dasarnya.

Beban cukai

Mahfodz berkata lagi, masalah ekonomi yang didepani kerajaan persekutuan hari ini kerana ia tidak menyerap konsep ketakwaan dalam pentadbiran.

Katanya, SST yang diperkenalkan kerajaan HARAPAN akan memberi kesan sama dengan GST dan rakyatlah yang perlu terus menggalas beban membayar cukai.

Ia berbeza dengan tawaran PAS untuk menggunakan model zakat dalam sistem percukaian, yang mengenakan cukai daripada golongan kaya untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan, katanya lagi.

Lihat Komen
ADS